NASIONAL

Sawit: Malaysia, Indonesia akan cabar peraturan EU di WTO

KUALA LUMPUR, 16 JUL: Malaysia dan Indonesia komited untuk mencabar Akta Perwakilan Kesatuan Eropah (EU) yang menyekat penggunaan minyak sawit dalam biobahan api menerusi pihak Badan Penyelesaian Pertikaian Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) serta saluran lain yang bersesuaian.

Malah, kedua-dua negara itu turut meneliti hubungan dengan EU dan negara anggotanya, kata Kementerian Industri Utama (MPI) dalam satu kenyataan bersempena Mesyuarat Peringkat Menteri Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) kali ke-7 di sini, hari ini.

“Kalangan menteri terbabit menyuarakan rasa kesal terhadap pelaksanaan Akta Perwakilan EU pada 10 Jun, 2019. Ia telah dikuatkuasakan walaupun pelbagai usaha sudah diambil oleh negara-negara pengeluar bagi menyampaikan maklumat mengenai inisiatif-inisiatif mapan yang dilaksanakan,” kata kementerian itu.

Selain itu, mesyuarat sama turut mencadangkan penubuhan Kumpulan Kerja CPOPC-EU Mengenai Minyak Sawit (JWG) yang berperanan sebagai platform baharu dan respon terhadap akta tersebut.

Langkah ini diputuskan selepas mengambil kira kesediaan delegasi CPOPC dan EU untuk mengadakan dialog secara lebih kerap.

“JWG boleh membabitkan negara anggota CPOPC dan negara pengeluar minyak sawit lain seperti pengeluar sawit Afrika dan akan membangkitkan isu pekebun kecil serta usaha pembasmian kemiskinan sebagai maklum balas terhadap Akta Perwakilan itu,” kata kementerian.

Mesyuarat yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Industri Utama Teresa Kok Suh Sim dan Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia Darmin Nasution, turut membincangkan pelbagai isu berkaitan industri minyak sawit termasuk dasar perdagangan antarabangsa dan akses pasaran, perniagaan dan penglibatan pekebun lecil dan Agenda Pembangunan Mapan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu 2030 (UNSDG).

Duta Colombia ke Malaysia, Mauricio Gonzalez Lopez turut hadir dalam mesyuarat itu selaku wakil negara pemerhati.

Menurut kementerian, kalangan menteri-menteri terbabit turut menyambut baik hasil kajian Pelan Induk Pelaksanaan Strategik SDG dalam Sektor Minyak Sawit menjelang 2030 dilaksanakan oleh CPOPC yang menunjukkan minyak sawit menjadi sebahagian besar daripada 17 objektif SDG PBB.

Ini berdasarkan kajian kes yang dijalankan di Indonesia, Malaysia, Thailand, Colombia dan Nigeria.

Mengulas isu tahap pencemaran 3-Monochloropropanediol (3-MCPDE) yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Eropah, kalangan menteri itu bersetuju bahawa satu tahap maksimum 2.5 ppm bagi semua minyak sayuran perlu diterima pakai sebagai had keselamatan penggunaan yang sewajarnya.

Menteri-menteri terbabit juga bersetuju bahawa CPOPC perlu meneruskan usaha melibatkan isu-isu semasa berkaitan dengan industri minyak sawit seperti bekalan dan permintaan, produktiviti, kestabilan harga, kebajikan pekebun kecil dan imej positif minyak sawit di sepanjang rantaian nilainya.

Menurut kenyataan kementerian itu, semua negara pengeluar minyak sawit turut dipelawa untuk menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Negara Pengeluar Minyak Sawit kali kedua di Kuala Lumpur pada 18 November depan.

– BERNAMA


Pengarang :