Selangorkini
NASIONAL

Sebutan semula kes saman syarikat milik anak Shahrizat 5 Ogos

KUALA LUMPUR, 12 JUL: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menetapkan 5 Ogos untuk sebutan semula kes saman oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) terhadap dua anak kepada bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berhubung beberapa kesalahan melibatkan syarikat mereka.

Hakim Manira Mohd Nor menetapkan tarikh itu selepas Pegawai Pendakwa SSM Najia Abdul Razak memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya gagal menyerahkan saman terhadap Wan Shahinur Izran Mohamad Salleh dan Wan Izzana Fatimah Zabedah Mohamad Salleh yang merupakan selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas kes tersebut difailkan.

“Saman gagal diserahkan kepada kedua-dua OKS jadi saya memohon satu tarikh baharu untuk serah saman kali kedua,” katanya semasa sebutan kes itu hari ini.

Difahamkan saman itu berkaitan beberapa pertuduhan di bawah Akta Syarikat 1965 termasuk gagal membentangkan akaun untung dan rugi, gagal mengadakan mesyuarat agung taqwim dan gagal menyerah simpan penyata tahunan yang kesemua kesalahan itu dilakukan antara 2012 dan 2015.

Mengikut senarai kes mahkamah, nama yang dinyatakan dalam kes itu ialah Wan Shahinur Izran dan Wan Izzana Fatimah Zabedah. Kedua-dua mereka tidak hadir di mahkamah. – BERNAMA


Pengarang :