AGENDAGLOBAL

Sekatan Jepun boleh jejas rantaian bekalan global

SEOUL, 24 JUL: Langkah Jepun mengenakan sekatan eksport ke atas Korea Selatan dan merancang memperluas sekatan itu, boleh menjejaskan rantaian bekalan global dan pada jangka panjang akan memberi kesan buruk kepada sektor perkilangan dunia, lapor agensi berita Yonhap memetik Persatuan Perdagangan Amerika Syarikat (AS), hari ini.

Dalam sepucuk surat yang diutus kepada Menteri Perdagangan Korea Selatan, Yoo Myung Hee dan rakan sejawatannya dari Jepun Hiroshige Seko, Persatuan Industri Semikonduktor bersama persatuan lain menggesa kedua-dua negara segera mencari resolusi ke atas masalah itu.

“Industri pembuatan serta Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) bergantung kepada rantaian bekalan global yang bersepadu,” kata persatuan terbabit dalam satu kenyataan bersama.

Surat itu antara lain mengatakan perubahan itu tidak telus dan sepihak dalam dasar kawalan eksport, boleh menyebabkan gangguan rangkaian bekalan, kelewatan penghantaran dan akhirnya dalam jangka panjang mengakibatkan kerugian kepada syarikat dalam dan di luar sempadan serta pekerja yang berkhidmat dengan mereka.

Persatuan perdagangan AS mengesa Tokyo agar tidak membuat sebarang “tindakan yang boleh meningkatkan ketegangan untuk mengelakkan kerosakan jangka panjang terhadap industri ICT dan pembuatan global.”

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Jepun mengenakan sekatan ke atas eksport tiga bahan utama yang digunakan syarikat cip Korea Selatan.

Jepun juga merancang dalam beberapa minggu akan datang, negara itu akan memperluaskan sekatannya dengan mengeluarkan Korea Selatan dari senarai putih pengimport.

Sementara itu, Yoo yang berada di Washington untuk bertemu pegawai AS mengatakan sekatan Tokyo akan mengganggu rantaian penawaran global dan memberi kesan negatif terhadap perusahaan AS.

Kerajaan Korea Selatan hari ini membantah kedua-dua langkah itu, mendesak Jepun menarik balik sekatan terhadap negara kuasa ekonomi keempat terbesar di Asia.

– BERNAMA


Pengarang :