SELANGOR

Selangor catat peningkatan kes denggi

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 12 JUL: Selangor mencatatkan jumlah peningkatan serius kadar kes kematian akibat demam denggi dengan 34 kes direkodkan pada tahun ini berbanding 16 kematian, tahun lalu.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, tren peningkatan gelombang itu berlaku terutama selepas musim perayaan Aidilfitri.

Katanya, susulan kes demam denggi itu ia sekali gus mencatatkan peningkatan sebanyak 100 peratus iaitu dua kali ganda berbanding tahun lalu.

“Sehingga minggu epidomologi (ME) 27, iaitu pada 1 Julai lalu, sebanyak 37,263 kes daftar denggi dengan kematian 34 kes dicatatkan.

“Perkara ini sekali gus mencatatkan peningkatan ketara berbanding 19,357 kes pada tahun lalu manakala peningkatan kes daftar sebanyak 17,906 iaitu 108 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media Pelancaran Program Mega Cari dan Musnah Aedes Selangor di Foyer Dewan Annex Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Pada masa sama, Dr Siti Mariah berkata, sehingga kini daerah Petaling mencatatkan bilangan kumulatif kes denggi tertinggi.

“Sebanyak 14,418 kes daftar denggi dicatatkan di daerah berkenaan pada tahun ini, berbanding 6,267 kes tahun lalu.

“Manakala, Sabak Bernam mencatat antara daerah paling rendah kes sama iaitu sebanyak 133 kes,” katanya.

Susulan peningkatan itu, Kerajaan Negeri berusaha menganjurkan gotong royong mega Selangor Bebas Aedes dengan Program Cari dan Musnah Aedes seluruh Selangor bermula 14 Julai ini.

Dr Siti Mariah optimis orang ramai boleh memberikan kerjasama dalam membanteras masalah denggi sekali gus mengurangkan wabak itu di negeri ini.

FOTO: REMY ARIFIN (SELANGORKINI)


Pengarang :