SELANGOR

Selangor kehilangan selepas Ahmad Suaidi ‘dicuri’ ke Perak

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 6 JUL: Perpindahan mantan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) merangkap Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim ke Perak disifatkan sebagai satu kehilangan buat Selangor.

Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya berkata, perkara itu berikutan Ahmad Suaidi dilantik sebagai Datuk Bandar Ipoh yang baharu.

“Saya tahu kualiti yang ada pada beliau kerana saya nampak potensinya untuk menjadi pegawai tinggi sejak menjadi Penolong Pegawai Daerah lagi tetapi pihak lain juga nampak potensi itu.

“Ahmad Suaidi seorang pegawai berkemampuan yang boleh dikerah untuk sesuatu tugasan dan memiliki cara tersendiri untuk melaksanakannya dan kerana itu saya rasakan Selangor kehilangannya.

“Oleh kerana beliau dinaikkan pangkat, kita tidak boleh menghalang demi kebaikan kerjayanya di mana sebelum ini dia telah laksanakan tugasnya dengan sangat baik termasuk melaksanakan penjajaran Inisiatif Peduli Rakyat di bawah Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari yang juga selesa dengan beliau,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Mohd Amin berkata, Ahmad Suadi adalah seorang perancang yang baik dengan mengikut keperluan dan dasar ditetapkan kepimpinan tertinggi negeri.

Katanya, beliau memiliki kemampuan berdiplomasi yang tinggi untuk mendapatkan kesepakatan semua pihak walaupun dalam situasi sukar pada peringkat awal disebabkan perbezaan pendapat.

Menyentuh perkenalan dengan Ahmad Suadi, Mohd Amin berkata, beliau mengenali Ahmad Suaidi pada 2012 ketika berkhidmat di Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat.

Ahmad Suaidi kemudian dinaikkan pangkat sebagai Pegawai Daerah Hulu Selangor dan diikuti Pegawai Daerah Gombak di atas cadangan Mohd Amin berdasarkan prestasi kerjanya.

“Apabila saya keluar Pejabat Tanah dan Galian, saya cadangkan nama Ahmad Suaidi ke Pejabat Tanah dan Galian sebelum diberi kepercayaan menggalas jawatan Timbalan SUK merangkap Pengarah UPEN,” katanya.


Pengarang :