BERITA UTAMA

Selangor kekal dominasi pasaran industri aeroangkasa

KUALA LUMPUR, 23 JUL: Selangor mahu terus mengekalkan dominasi pasarannya dalam industri aeroangkasa dengan meningkatkannya pada kadar 70 peratus menjelang 2020 dalam masa terdekat.

EXCO Pelaburan, Perindustrian, dan Perdagangan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Dato’ Teng Chang Khim berkata, sehingga kini industri itu berada pada kadar 62 peratus hasil peningkatan permintaan terhadap bahan aeroangkasa di seluruh dunia dan peremajaan Subang Skypark.

Katanya, peningkatan itu sekali gus akan turut menyumbang secara positif kepada ekonomi negeri.

“Pembangunan industri aeroangkasa juga akan mewujudkan lebih banyak pekerjaan mahir lebih tinggi untuk penduduk tempatan di Selangor serta seluruh negara khasnya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyertai Sesi Perbincangan Pembuat Dasar dan Pemimpin Industri: Memajukan Ekonomi Bersama melalui Forum ‘Selangor: Regional Powerhouse’ di sini, hari ini.

Sebelum itu, forum berlangsung di Hotel Hilton dirasmikan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Mengulas lanjut, Teng berkata, Selangor kini mempunyai kira-kira 200 syarikat berkaitan aeroangkasa dan menetapkan tiga kawasan khusus untuk sektor terbabit iaitu di Serendah, Subang dan Sepang.

Katanya, Kerajaan Negeri terus berusaha mencari pelaburan langsung asing (FDI) yang dipacu teknologi tinggi dan berjangka panjang.

“Kami mempunyai pelan tindakan yang menumpukan beberapa sektor termasuk pembuatan, aeroangkasa dan lain-lain.

“Berasaskan pelan ini, kami mengetengahkan Selangor sebagai destinasi bagi tujuan menjalankan perniagaan memandangkan negeri ini memiliki ekosistem lengkap,” katanya.

FOTO: HAFIZ OTHMAN (SELANGORKINI)


Pengarang :