BERITA UTAMA

Selangor kekal rekod penyumbang pelaburan tertinggi negara

SHAH ALAM, 15 JUL: Selangor kekal sebagai penyumbang pelaburan tertinggi negara berikutan 35 peratus pelabur memilih negeri termaju itu sebagai destinasi pilihan pada suku tahun pertama,

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berakata, pada tempoh terbabit, Selangor memperolehi pelaburan bernilai RM1.5 bilion yang dijana daripada 75 projek perkilangan yang diluluskan bagi tempoh sama.

“Pada tahun 2019, kami menyasarkan untuk menerima jumlah pelaburan bernilai RM10 bilion berikutan pelbagai faktor ketidaktentuan ekonomi global hari ini.

“Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), bagi tempoh tiga bulan pertama 2019, Selangor telah memperoleh aliran masuk pelaburan bernilai RM1.5 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmiannya pada Pelancaran Rasmi SIBS 2019 di Hotel Sheraton di sini, hari ini.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri yakin mampu mencapai sasaran pelaburan berjumlah RM10 bilion walaupun berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi global.

Katanya, pada 2018 Selangor melakar sejarah apabila mencatatkan jumlah pelaburan tertinggi dengan nilai RM18.9 bilion dengan 241 projek diluluskan.

Sementara di sidang media pada program sama, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri turut mementingkan aspek kualiti pelaburan yang dibawa masuk ke negeri itu.

“Bukan sekadar angka tetapi Kerajaan Negeri turut menitikberatkan kualiti pelaburan yang dibawa masuk,” katanya.


Pengarang :