EXCOSELANGOR

Selangor kemuka syor mudah mohon kewarganegaraan

SHAH ALAM, 17 JULAI: Kerajaan Negeri mengesyorkan beberapa perkara yang boleh dilaksanakan Kerajaan Pusat bagi membantu penduduk yang menetap di Selangor tanpa identiti kewarganegaraan melalui program MySel.

EXCO Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin,  V Ganabatirau berkata, antara perkara disyorkan adalah mempertimbangkan sewajarnya permohonan kewarganegaraan seperti anak kepada warganegara, anak angkat dan anak terabai selaras Perlembagaan.

“Kerajaan juga perlu mempercepatkan proses permohonan dan tempoh waktu menunggu selain memberi alasan kukuh atas penolakan kewarganegaraan terbabit.

“Selain itu, kewarganegaraan perlu diberikan jika salah seorang ibu bapa adalah warganegara Malaysia dan permohonan ditolak itu perlu dipertimbangkan dengan lebih terperinci serta disiasat lebih rapi supaya tidak menyinggung perasaan pemohon,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media Pencapaian Unit MySel di pejabatnya di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini hari ini.

Katanya, kerajaan juga perlu membenarkan pemohon berusia 21 tahun ke atas dan bukan warganegara untuk memohon taraf kewarganegaraan di bawah Perkara 19.

Ganabatirau berkata, pihaknya masih tidak tahu tempoh proses setiap permohonan dilakukan dan perkara itu akan menimbulkan perasaan emosi masyarakat terhadap kerajaan.

“Kebanyakan kes yang berlaku berpunca daripada perkahwinan bersama bukan warga tempatan menyebabkan individu berkenaan sukar mendapatkan dokumen bagi menyelesaikan permasalahan terbabit.

“Bagaimanapun, Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama dan kekal komited bersama dengan jabatan dan agensi berkaitan dalam setiap usaha membantu rakyat Selangor,” katanya.

Sehingga kini, MySel menerima 1,686 kes berkenaan isu permohonan kewarganegaraan dengan 457 dokumen lengkap dan hanya 94 kes berjaya diselesaikan.

Kes selesai membabitkan warganegara adalah sebanyak 26 kes, anak angkat (7), Kad Pengenalan (1), Kad Pengenalan Merah (16), Kad Pengenalan Biru (4), Sijil Kelahiran (33) dan Imigresen (7).


Pengarang :