Selangorkini
BERITA UTAMA

Selangor promosi produk pertanian ke Singapura, Jepun

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 23 JULAI: Produk segar dan proses berasaskan pertanian dijangka meningkat ekoran promosi berterusan dijalankan Kerajaan Selangor.

EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, antara langkah diambil termasuk menyertai program promosi di luar negara dengan bantuan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

“Pagi tadi (semalam) kita buat pelepasan rombongan ke Singapura untuk hadiri Malaysia Fest yang saya pernah hadiri tahun lalu. Sambutan cukup baik dengan peningkatan hasil jualan lebih 20 peratus setiap tahun.

“Tahun ini kita tambah lagi dengan menyertai Halal Fest di Jepun pada 11 November nanti dan kita sediakan peruntukan untuk tambah usahawan menyertai promosi itu nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Sempena Mesyuarat Kementerian Pertanian bersama EXCO-EXCO Pertanian Seluruh Malaysia di Dewan Orkid, Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor di sini, semalam.

Selain mempromosikan produk pertanian di luar negara, Ir Izham turut memuji langkah FAMA membina pasar raya Selangor Agro Market (SAM) di Selangor.

Katanya, pasar raya itu akan meningkatkan pemasaran produk pertanian Selangor, sekali gus meningkatkan lagi pendapatan pengusaha pertanian.

Ir Izham berkata, FAMA turut mengenakan syarat hanya produk diusahakan sendiri tanpa melalui orang tengah sahaja dibenarkan dipasarkan di pasar raya itu nanti.


Pengarang :