EXCOSELANGOR

Selangor tegas tidak beri lesen kepada peniaga warga asing

SHAH ALAM, 31 JULAI: Kerajaan Negeri bertegas tidak melesenkan perniagaan kecil dan sederhana (penjaja) kepada warga asing, kata Ng Sze Han.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru itu berkata, langkah itu selaras Pekeliling Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Bil 3 tahun 2008, Pengeluaran Permit Perniagaan Kecil oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Ini bermakna permit hendaklah dikeluarkan kepada warganegara Malaysia sahaja dan pemilik permit perlu berada di tempat perniagaan sepanjang masa.

“Tindakan membatalkan permit akan diambil ke atas warganegara Malaysia yang memindah milik permit perniagaan mereka kepada warga asing atau tidak menjalankan perniagaan terbabit,” katanya ketika sesi pertanyaan lisan, pada sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Rawang, Chua Wei Kiat berhubung tindakan diambil Kerajaan Negeri bagi mencegah pemilikan perniagaan daripada warga asing.

Katanya, PBT ada mengeluarkan lesen perniagaan kepada warga asing yang sudah mendaftarkan syarikat mereka dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dengan melampirkan pasport sah dan mempunyai visa dagang.

Bagaimanapun Sze Han berkata, kategori lesen yang dikeluarkan hanya membabitkan aktiviti trend perniagaan dan perindustrian sahaja.

“Tindakan yang diambil oleh kerajaan untuk mengurangkan kelakuan sewaan lesen perniagaan atau tapak pasar malam kepada pihak ketiga adalah dengan melakukan pemeriksaan secara berterusan.

“Jika didapati lesen perniagaan atau tapak pasar malam melanggar syarat termasuk perniagaan dijalankan atau dikendalikan oleh pihak ketiga, PBT akan mengeluarkan kompaun atau merampas dan membatalkan lesen,” katanya.


Pengarang :