SELANGOR

Selangor tubuh jawatankuasa pantau daerah ketinggalan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 14 JULAI: Kerajaan Negeri menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi memantau pembangunan ekonomi di daerah yang ketinggalan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, jawatankuasa itu dianggotai empat orang EXCO yang akan membantu secara spesifik menggerakkan ekonomi di kawasan terbabit.

“Di Selangor, saya boleh katakan Sabak Bernam sedikit ketinggalan berbanding kawasan lain dan sebab itu kita tumpu di sana,” katanya kepada media selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Yayasan Selangor 2018 di Kelab Shah Alam.

Mereka yang terbabit adalah EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Izham Hashim; EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail; EXCO Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau dan EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana, Datuk Teng Chang Khim.

Amirudin berkata, kewujudan penjajaran dalam program Inisiatif Peduli Rakyat sebelum ini dapat membantu memperkemaskan fokus di kawasan luar bandar yang ketinggalan.

“Apabila kita wujudkan kluster (penjajaran) itu, sudah pasti kita memerlukan sedikit keterhubungan bukan sahaja dari segi fizikal tetapi meliputi perhubungan internet serta alam siber.

“Itu semua menjana pertumbuhan dan kegiatan ekonomi setempat,” katanya.


Pengarang :