AGENDANASIONAL

Selangor tunggu laporan polis Sungai Selangor tercemar

SHAH ALAM, 31 JUL : Kerajaan Selangor belum menerima laporan daripada polis berhubung insiden pencemaran Sungai Selangor, baru-baru ini.

Menteri Besar Amirudin Shari berkata pihaknya akan menunggu laporan tersebut sebelum mengambil apa-apa tindakan terhadap pihak yang terlibat.

“Setakat ini kita belum terima lagi laporan itu, seperti yang saya maklumkan sebelum ini mengikut mata kasar saya pencemaran itu lebih kepada kecuaian dan bukan disabotaj.

“Kita akan ambil tindakan tidak kira terhadap individu mahupun syarikat yang bertanggungjawab terhadap pencemaran sungai ini,” katanya kepada pemberita di lobi Dewan Undangan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador Isnin lepas yang menyatakan tiada unsur sabotaj sebaliknya kecuaian dalam insiden pencemaran sungai tersebut.

Pada 21 Julai lepas, pencemaran diesel di Sungai Selangor mengakibatkan loji rawatan air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3 serta LRA Rantau Panjang dekat sini terpaksa dihenti tugas yang menyebabkan gangguan bekalan air di wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Insiden itu berlaku di lokasi kerja pengorekan pasir oleh kontraktor berlesen yang tidak lagi beroperasi sejak kira-kira dua bulan lepas. -BERNAMA


Pengarang :