Selangorkini
AGENDA NASIONAL

Selesai isu permohonan komital terhadap Peguam Negara 9 Ogos

SHAH ALAM, 24 JUL: Mahkamah Koroner Shah Alam hari ini menetapkan 9 Ogos ini untuk menyelesaikan dua isu membabitkan permohonan perintah komital (hina mahkamah) yang dibuat bapa anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim kepada Peguam Negara, Tommy Thomas.

Koroner Rofiah Mohamad berkata, dua isu itu ialah sama ada peguam negara boleh memberi pandangan atau hujahan terhadap permohonan ex-parte (sebelah pihak) yang dibuat bapa Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid serta sama ada boleh atau tidak, dua afidavit oleh peguam negara dan pegawai pengendali terdahulu yang difailkan sebelum ini diterima.

Ia susulan, peguam yang mewakili keluarga Muhammad Adib, Mohamed Hanif Khatri Abdulla mempersoalkan sejauh mana penglibatan pejabat peguam negara kerana permohonan mereka adalah ex-parte (sebelah pihak).

Beliau berkata, pihaknya turut dimaklumkan pejabat peguam negara telah memfailkan dua afidavit berhubung kes itu.

Terdahulu, Mohamed Haniff Khatri memaklumkan kepada mahkamah bahawa dua isu itu wujud susulan permohonan perintah komital berkenaan.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan, S Narkunavathy berkata, pihaknya berpendirian peguam negara mempunyai hak untuk mendengar permohonan komital itu.

Pada 16 Julai lepas, Mohd Kassim telah memfailkan permohonan untuk memulakan prosiding komital terhadap Tommy berhubung punca kematian anaknya.

Mohd Kassim, 64, memfailkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) melalui Tetuan Mohd Zubir Embong dan Associate di Mahkamah Koroner.

Dalam permohonan itu, beliau mendakwa Tommy telah membuat penghinaan terhadap mahkamah menerusi afidavit yang difailkan oleh Jabatan Peguam Negara pada 3 April lepas.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lepas dan menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember di Institut Jantung Negara. – BERNAMA


Pengarang :