SELANGOR

Seminar The Amman Message dibatalkan – PDRM

KUALA LUMPUR, 10 JUL : Seminar ‘The Amman Message’ anjuran Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS) yang dijadual berlangsung Sabtu ini, dibatalkan berikutan ugutan bom yang diterima daripada seorang pengguna Facebook.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Asmawati Ahmad berkata keputusan membatalkan seminar berkenaan dibuat sendiri oleh penganjur, dan bukan atas nasihat atau bantahan polis.

Beliau berkata pembatalan seminar itu dibuat berikutan komen yang diterima oleh penganjur seminar itu, di laman Facebook Gerakan Banteras Syiah bertarikh 6 Julai lepas daripada pemilik akaun Facebook, Amirol Md Zain, iaitu “kita bomb tempat nie”.

“Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif IAIS iaitu Prof Madya Dr Mohamed Azam Mohamed Adil, telah membuat satu laporan polis, semalam berhubung isu ini.

“Oleh yang demikian, polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 507 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan.

-BERNAMA


Pengarang :