ADNSELANGOR

SHES buka ruang wanita maju ke hadapan

SHAH ALAM, 22 JUL: Program ‘Safe, Heal, Empower and Strength’ (SHES) membuka ruang kepada golongan wanita untuk terus maju ke hadapan, kata Ahli Dewan Negeri Permatang, Rozana Zainal Abidin.

Program dengan kerjasama Majlis Prihatin Wanita Universiti Selangor (UNISEL) dan Kelab Psikologi Industri di bawah Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial itu diadakan di Auditorium Za’ba, UNISEL Kampus Bestari Jaya, di sini, baru-baru ini.

Rozana berkata, program itu adalah landasan terbaik memberi kesedaran kepada kaum wanita selain membuka ruang golongan terbabit mengatasi diskriminasi dan penindasan dihadapi.

“Perkongsian input pada program SHES ini yang memberi fokus kepada tajuk “Wacana Belia Wanita” banyak memberi pencerahan lebih mendalam berkenaan hak, diskriminasi dan pemerkasaan wanita.

“Harapan saya semoga program seumpama ini dapat dikongsi bukan sahaja dalam kalangan wanita, bahkan juga lelaki setiap lapisan masyarakat,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Terdahulu, slot perkongsian ilmu bertajuk “Wacana Belia Wanita” yang disampaikan oleh Dr Sharifah Syahira dan ceramah “Peranan Wanita Muslimah di Era Globalisasi” pula disampaikan Isfadiah Mohd Dasuki kedua-duanya mengupas isu berkenaan peranan dan hak wanita pada masa kini.

Hadir sama, pada program tersebut adalah Naib Presiden dan Timbalan Naib Canselor (Akademik, Penyelidikan dan Jaringan Industri), Prof Dr Md Sidin Ahmad Ishak dan pensyarah serta pelajar Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial.


Pengarang :