AGENDANASIONAL

Siasatan terhadap dakwaan Wan Ji dipukul di peringkat akhir

KAJANG, 18 JUL : Siasatan berhubung dakwaan penceramah bebas Wan Ji Wan Hussin yang beliau dipukul semasa dalam tahanan di Penjara Kajang, kini di peringkat akhir sebelum tindakan selanjutnya diambil.

Ketua Pengarah Jabatan Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar berkata pegawai yang terlibat bakal berdepan dengan tindakan tatatertib termasuk dibuang kerja sekiranya dakwaan itu benar, dan hasil siasatan akan diketahui secepat mungkin.

“Tindakan terus akan diambil tanpa diumumkan, pegawai yang terbabit akan dikenakan tindakan jika didapati insiden itu benar-benar berlaku,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri Program Pembangunan Penghuni India dengan kerjasama Unit Transformasi India Malaysia (MITRA) di Dewan Kompleks Jabatan Penjara di Kajang di sini, hari ini.

Turut hadir di majlis malam itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P.Waytha Moorthy.

Zulkifli menegaskan etika pegawai penjara ialah untuk tidak menggunakan kuasa dengan sewenang-wenangnya.

“Jika anggota menampar atau memukul dan sebagainya, itu telah melanggar aspek kemanusiaan iaitu layanan seorang manusia kepada manusia. Penghuni ini menjalani hukuman penjara yang telah dijatuhkan kepada mereka, dan bukan untuk dikasari,” katanya.

Wan Ji sebelum ini mendakwa beliau dipukul individu bertopeng yang memakai pakaian warden ketika menjalani hukuman setahun penjara selepas Mahkamah Tinggi menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman kerana menerbitkan perkataan menghasut dan menghina terhadap Sultan Selangor tujuh tahun lalu.

Mahkamah Tinggi kemudian membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman terhadap penceramah bebas berusia 37 tahun itu berkuatkuasa 12 Julai sehingga proses rayuan di Mahkamah Rayuan selesai.

-BERNAMA


Pengarang :