ALOR SETAR, 21 Julai –- Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Harun diberi taklimat oleh Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Prowheels (M) Sdn Bhd Muhamad Solahuddin Mustafa (dua, kanan) mengenai teknik penukaran tayar automatik ketika mengadakan lawatan Projek Mara Prowheel di Kampung Kuala Sungai, Mukim Kubang Rotan hari ini. Syarikat Prowheels merupakan pengedar tunggal minyak enjin jenama Lubrex dari Emiriah Arab Bersatu (UAE). –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
AGENDANASIONAL

Silibus di Tabika Kemas sudah ditambah baik

ALOR SETAR, 21 JULAI: Beberapa silibus yang diguna pakai di Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) ditambah baik sebelum ini, termasuk melaksanakan modul pendidikan Sains, Teknologi, Agama, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STREAM).

Sehubungan itu, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, tiada keperluan untuk merombak silibus yang dilaksanakan Kemas setakat ini.

Malah, katanya, Kemas pernah menerima pengiktirafan daripada majalah terkenal dunia Reader’s Digest Trusted Brands pada 2017 dari segi silibus itu.

“Kalau diikutkan bayaran di tabika Kemas ini jauh sangat rendah daripada yang perlu dibayar sekolah swasta. Program STREAM yang dilancarkan pada Oktober lalu, memberikan kanak-kanak ini belajar di samping mengaplikasikan keadaan sebenarnya.

“Macam di Melaka kita guna ‘aerospace’, di Wilayah ada ‘robotic’. Jadi ini beri peluang kepada kanak-kanak itu dari segi pemikirannya menjadi kritis, ini silibus yang kita sedang laksanakan,” katanya pada sidang media selepas melawat sebuah pusat servis kenderaan dan tayar dekat sini, hari ini.

Rina berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada silibus di tabika Kemas kurang bermutu dan ada keperluan ia dirombak semula kerana terdapat ibu bapa muda memilih untuk menghantar anak mereka mendapatkan pendidikan awal kanak-kanak di taska dan tadika swasta.

Ia berikutan laporan media tempatan (Berita Harian) hari ini yang melaporkan kos taska dan tadika punca beban kewangan ibu bapa itu hingga sanggup ‘ikat perut’ dalam usaha mendapatkan khidmat terbaik untuk anak masing-masing.

Rina berkata, sebenarnya terpulang kepada ibu bapa untuk menghantar anak mereka mendapatkan pendidikan awal kanak-kanak di mana sahaja mengikut pertimbangan dan keputusan sendiri.

“Tabika Kemas ada juga di bandar dan tabika Kemas di bandar ini memang penuh, maknanya kalau mereka nak hantar anak mereka ke tabika Kemas (kena lalui) proses sama juga,” katanya.

Sementara itu, terdapat 66 tabika Kemas transit yang diwujudkan di kawasan tertentu sahaja termasuk di Selangor setakat Jun lepas dalam usaha membantu ibu bapa bekerja terutama di kawasan bandar dan pinggir bandar bagi menempatkan anak mereka untuk belajar.

“Ibu bapa boleh hantar anak mereka di tabika transit ini dari pagi hingga ke petang, habis kerja boleh datang ambil anak mereka waktu petang. Banyak permintaaan (untuk tabika transit ini), ia akan diperluaskan, terpulang kepada bajet yang ada,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Rina berkata, Majlis Amanah Rakyat (Mara) membantu 6,300 usahawan dalam bidang automatif dari aspek pembiayaan perniagaan sehingga Jun lepas sejak 2011.

Antara skim pembiayaan perniagaan Mara yang ditawar untuk bidang automatif secara keseluruhannya bagi tahun ini berjumlah RM10.1 juta dan RM5 juta diagihkan di bawah Skim Mara Integrated Smart Auto (MiSA).

-BERNAMA


Pengarang :