SELANGOR

Simpan politik lucah di ‘muzium’

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 4 JULAI: Politik lucah dan kotor selayaknya disimpan dan diarkib di muzium supaya tidak boleh diakses sama sekali, tegas Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman.

Timbalan Pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE) berkata, ia adalah bukti organik bahawa rakyat Malaysia sudah melangkaui budaya politik purba yang masih cuba dicanang masa kini.

“Jika rakyat Malaysia sudah berani bangkit untuk mengubah rejim satu parti yang memerintah selama enam dekad lamanya, pasti sahaja rakyat kita turut berani membawa satu politik nilai dan bersaing secara ilmiah serta positif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Silaturrahim Aidilfitri & Baca Puisi Bumbung @ Shah Alam IDE, di perkarangan Pejabat Institut Darul Ehsan, di sini malam tadi.

Pada masa sama, Mohammad Redzuan berkata, IDE menekankan komitmen dalam membawa satu aspirasi politik yang bersifat transformatif dan mengubah norma masyarakat kini.

Katanya, agenda reformasi adalah satu misi yang digalas pihaknya dan dimulakan seawal bulan pertama perubahan tampuk pemerintahan negara.

“IDE sebagai sebuah badan penyelidikan terbabit secara aktif dalam pilihan raya kecil bukan sahaja untuk menjalankan survei dan analisa, tetapi sebagai pemerhati yang dilantik di bawah Suruhanjaya Pilihan Raya.

“Ini adalah satu komposisi penting reformasi negara yang dilihat mampu untuk memperbaiki sistem pilihan raya secara langsung mahupun tidak langsung,” katanya.

Terdahulu, Malam Puisi Bumbung Shah Alam adalah acara bulanan IDE dengan kerjasama Seniman Paksi Rakyat (PAKSI) yang diketuai Pak Dinsman.

Program berkenaan turut menampilkan beberapa penyair amatur antaranya Datuk Dr Zurinah Hassan, Yassin Salleh dan Rozan Azen Mat Rasip termasuk persembahan lagu puisi oleh Kreatif Akustika dan Kopratasa.

Mohammad Redzuan berkata, program itu digerakkan bagi membugar seni dan budaya dalam kalangan masyarakat khususnya generasi muda.

“Sejarah membuktikan bahawa seniman, budayawan dan karyawan adalah pejuang yang membawa denyut nadi suara rakyat kerana suara mereka suara keramat.

“Dengan puisi, pantun, seloka dan gurindam dihasilkan bukan semata-mata untuk bergembira tetapi penuh hikmah membawa isu perjuangan rakyat,” katanya.

 


Pengarang :