AGENDANASIONAL

Simpanan lesap selepas kongsi maklumat perbankan

KUANTAN, 28 JUL: Bimbang nama disenaraihitamkan menyebabkan seorang warga emas kerugian RM103, 950 selepas memberikan butiran perbankannya kepada sindiket Macau Scam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa lelaki yang berusia 63 tahun itu juga mengaktifkan perbankan dalam talian mengikut arahan suspek.

Katanya, mangsa yang merupakan pesara syarikat telekomunikasi dihubungi suspek pada 10 pagi, Jumaat lalu mendakwa nombor telefonnya akan disekat kerana mempunyai tunggakan RM4,000.

“Mangsa diminta untuk bercakap dengan anggota polis berpangkat sarjan yang meminta butiran nombor akaun dan nombor kad pengeluaran wang automatik (ATM) dua akaun miliknya untuk pembekuan akaun.

“Sarjan itu juga didakwa telah memberi arahan kepada mangsa menerusi WhatsApp untuk dia mengaktifkan perbankan online salah satu akaunnya,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas pergi ke bank untuk mendapatkan pengesahan dan membuat semakan akaun yang dia mendapati terdapat terdapat 12 transaksi pemindahan wang dilakukan secara online.

Dia mendakwa tidak mengenali pemilik akaun tersebut dan semakan di satu lagi akaunnya mendapati wang simpanannya juga telah dikeluarkan tanpa pengetahuan.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh dekat sini, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan. – BERNAMA


Pengarang :