BERITA UTAMA

SimplySiti sasar penyenaraian di Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR, 30 JULAI: SimplySiti Sdn Bhd kini menyasarkan peluang untuk penyenaraian di Bursa Malaysia bagi menyokong aspirasinya menjadi jenama antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Azuddin Abdul Rahman berkata, syarikat itu bakal mencapai jualan hampir RM60 juta tahun depan.

“Kami terbuka kepada pilihan itu (penyenaraian). Ia sasaran kami dan kami berusaha untuk merealisasikannya,” katanya selepas pengumuman kerjasama di antara Shopee, SimplySiti dan CIMB Islamic Bank Bhd di sini, semalam.

Beliau berkata syarikat berkenaan akan memasuki pasaran Indonesia bulan depan dan menyasarkan untuk menjadi pemain global melangkaui 2020.

Pengasas Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, penyanyi nombor satu Malaysia berkata syarikat itu merancang memperkenalkan 70 produknya dalam pasaran kukuh yang mempunyai 271 juta penduduk.

“Sejak saya melancarkan SimplySiti, saya menetapkan sasaran untuk memasuki pasaran Indonesia. Dengan populasinya, terdapat potensi besar bagi saya untuk memanfaatkan pasaran dalam kalangan peminat,” katanya.

Selain landasan dalam talian, SimplySiti juga akan dijual di Watsons dan Transmart.

Sejak 2017, ia menjana 42 peratus daripada jualannya melalui landasan e-dagang seperti Shopee.

Pengarah Urusan Serantau Shopee, Ian Ho berkata, 70 peratus daripada jumlah pengguna Shopee ialah wanita dan mereka membeli kebanyakannya adalah produk kesihatan dan kecantikan, menjadikan segmen itu antara kategori paling popular di landasan berkenaan.

“Segmen kecantikan kami sangat kukuh, inilah sebabnya kami bekerjasama dengan jenama seperti SimplySiti,” kata Ho.

Beliau berkata terdapat sejumlah 20 juta pengguna Shopee di Malaysia manakala 80 juta pengguna di Indonesia.

Dengan kerjasama itu, peminat SimplySiti akan mempunyai akses terus untuk sesi bertemu dan menyambut Siti Nurhaliza, konsert mininya dan tawaran produk yang menarik.

Promosi Super Brand Shopee SimplySiti akan diadakan dari 2 hingga 7 Ogos ini, manakala Konsert Mini Shopper x SimplySiti akan berlangsung pada 14 September, dan acara Teh Petang bersama Siti Nurhaliza dengan kerjasama CIMB Islamic Bank pada 18 September.

-BERNAMA


Pengarang :