NASIONAL

Siri ‘Touchpoint’ Suruhanjaya Tenaga di Pusat Jagaan Titian OKU Nur

RAWANG, 15 JUL: Pusat Jagaan Titian Orang Kurang Upaya (OKU) Nur, di sini dipilih Suruhanjaya Tenaga (ST) untuk meneruskan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporatnya (CSR).

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan dan Operasi Kawasan (JPOK) ST, Elmi Anas berkata, program menerusi siri ‘Touchpoint’ itu bertujuan membantu premis institusi tidak berkepentingan serta golongan tidak berkemampuan dalam memastikan penggunaan elektrik tempat berkenaan selamat.

Katanya, inisiatif itu dilakukan melalui pemeriksaan dan baik pulih sistem pendawaian elektrik di pusat jagaan berkenaan.

“Bagi program ini, ST memilih pusat jagaan ini dengan menjalankan pemeriksaan dan penambahbaikan terhadap sistem pendawaian elektrik.

“Kita juga memberi khidmat nasihat terhadap sistem pendawaian elektrik serta keselamatan dan penggunaan peralatan elektrik yang cekap serta selamat,” katanya ketika ditemui di program itu.

Elmi berkata, program berkenaan merupakan aktiviti CSR sepanjang tahun yang tidak hanya menumpukan Selangor sahaja bahkan semua negeri.

Katanya, sejumlah RM100,000 diperuntukkan untuk sembilan projek termasuk pusat jagaan itu untuk melaksanakan program berkenaan.

“Kos ini meliputi kerja-kerja pendawaian, pengujian dan pemasangan kelengkapan elektrik seperti kipas dan lampu.

“Saya berharap dengan adanya program seperti ini, akan memberi nilai tambah dalam meningkatkan aspek keselamatan elektrik bagi pusat kebajikan yang memerlukan.

“Malah, ia juga dapat meningkatkan kesedaran masyarakat umum mengenai kepentingan pendaiwaian dan penggunaan elektrik secara selamat dan cekap,” katanya.

Pada masa sama, Elmi menyasarkan program ‘Touchpoint’ itu dapat dilaksanakan di pusat-pusat tahfiz pada masa akan datang.

Katanya, hal itu kerana terdapat banyak kes kebakaran di pusat-pusat tahfiz membabitkan sistem pendawaian.

Pengasas dan penyelia pusat jagaan itu, Nur Normah Adlan menzahirkan ucapan terima kasih atas bantuan yang diberikan pihak ST.

“Elektrik merupakan keperluan asas, kalau tiada susah juga untuk uruskan pusat ini. Lagipun ia sudah lama, memang kita tidak mampu untuk membaikinya sendiri.

“Alhamdulillah, saya gembira dan sambut baik bantuan ini, terima kasih kepada pihak ST,” katanya.


Pengarang :