EKONOMI

Sistem caj kesesakan beri penjimatan kepada pengguna

KUALA LUMPUR, 9 JUL : Pengambilalihan empat konsesi lebuh raya oleh kerajaan dan penggunaan caj kesesakan berbanding kutipan tol, akan memberikan pengguna penjimatan hampir RM2 bilion, kata Kementerian Kewangan.

Empat lebuh raya berkenaan ialah Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (SMART).

Menterinya, Lim Guan Eng memberitahu Dewan Rakyat bahawa sistem caj kesesakan yang akan diperkenalkan secara prinsipnya akan memberikan diskaun sehingga 30 peratus pada waktu luar puncak dan kadar percuma pada waktu bukan puncak.

“Pengguna lebuh raya ini akan menikmati penjimatan sehingga RM180 juta setahun… ini bermakna pengguna akan menjimatkan hampir RM2 billion sepanjang hayat keempat-empat konsesi tersebut,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) mengenai rasional kerajaan untuk mengambil alih pengendalian keempat-empat konsesi lebuh raya berkenaan.

Guan Eng berkata, tempoh konsesi bagi keempat-empat lebuh raya tersebut ialah antara sembilan hingga 20 tahun.

Katanya tempoh konsesi lebuh raya berkenaan tidak akan dilanjutkan selepas pengambilalihan, dan akan akan tamat seperti yang termeterai dalam konsesi sedia ada.

“Setelah konsesi tamat, caj kesesakan akan dikurangkan lagi bagi menampung kos operasi dan penyelenggaraan lebuh raya tanpa mengandungi sebarang unsur keuntungan,” katanya.

Pada 23 Februari lepas, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan cadangan pengambilalihan keempat-empat konsesi lebuh raya berkenaan dan ini disusuli oleh tawaran rasmi bersyarat kepada keempat-empat syarikat konsesi tersebut oleh Kementerian Kewangan pada 21 Jun.

-BERNAMA


Pengarang :