SELANGOR

Smart Selangor Parking sah di DBKL

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 9 JUL: Aplikasi Smart Selangor Parking (SSP) kini boleh digunapakai untuk pembayaran parkir di kawasan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), kata EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru.

Ng Sze Han berkata, aplikasi yang boleh dimuat turun secara percuma itu membolehkan pengguna membuat bayaran segera dengan menggunakan kredit yang boleh ditambah nilai daripada perhidmatan perbankan tempatan (e-wallet).

Katanya, selain DBKL, tujuh kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Selangor iaitu Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Perbandaran Subang Jaya, Majlis Perbandaran Kajang, Majlis Perbandaran Selayang dan Majlis Perbandaran Sepang.

“Selain itu, SSP juga boleh digunakan di parkir berpagar (off street parking) di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Paramount, Asia Jaya, Stadium Kelana Jaya dan Gerai Peniaga Atria.

“Pelaksanaan SSP ini juga berjaya menjimatkan penggunaan kupon parkir sebanyak 180 tan kertas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis penghargaan kepada PBT atas pencapaian cemerlang dalam SPB-PBT, di Suk, di sini.

Pada masa sama, Sze Han berkata, bagi menggalakkan lagi penggunaan SSP, Kerajaan Negeri menawarkan promosi istimewa selama sebulan bermula 9 Julai hingga 9 Ogos.

“Promosi ini membabitkan RM1 tambahan kredit diberikan kepada setiap pembelian kredit RM50 hingga RM99.

“Manakala RM3 tambahan kredit pula akan diberikan untuk setiap pembelian kredit RM100 hingga RM199,” katanya.

Selain itu, katanya, tambahan RM6 juga dikreditkan kepada pembelian RM200 hingga RM299, RM9 tambahan bagi pembelian RM300 hingga RM399 dan RM12 tambahan bagi pembelian RM400 hingga RM499.

SSP diperkenalkan pada Julai 2018 selaras dengan visi Selangor ke arah Smart State 2025.

Kadar caj letak kenderaan dan kompaun yang dikenakan SSP adalah mengikut kadar sedia ada seperti ditetapkan PBT yang menyertai pelaksanaan SSP.


Pengarang :