AGENSISELANGOR

SMK Sultan Abdul Aziz Shah juara Bicara Berirama Selangor

SHAH ALAM, 31 JULAI: Persembahan bertenaga dan penuh harmoni melayakkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Aziz Shah, Kajang muncul juara Pertandingan Bicara Berirama Peringkat Selangor 2019.

Pertandingan anjuran Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor dengan kerjasama PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) itu turut menyaksikan SMK Rawang mengungguli tempat kedua, manakala tempat ketiga dimenangi SMK Pulau Indah, Klang.

Pemangku Pengurus Pusat PREC, Syahril Mohd Rashid berkata, pihaknya mengalu-alukan mana-mana pihak yang berminat menganjurkan program berunsur pendidikan di pusat-membeli belah milik syarikat terbabit iaitu SACC Mall, Kompleks PKNS Shah Alam dan Kompleks PKNS Bangi.

“Program pendidikan seperti ini penting kerana ia adalah salah satu cabang dalam menjayakan aktiviti tanggungjawab sosial korporat PREC.

“Pertandingan seperti ini dapat memupuk minat dan meningkatkan kecemerlangan murid, baik yang bersekolah di bandar mahupun luar bandar dalam bidang kokurikulum serta akademi, di samping memperkukuh konsep pembelajaran bahasa Melayu yang sudah dipelajari,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Bicara Berirama Peringkat Selangor 2019 di SACC Mall, di sini hari ini.

Sementara itu, Penyelia Kokurikulum JPN Selangor, Yang Mulia Tunku Saidatul Bariah Tunku Nizam berkata, pertandingan itu mampu menarik minat pelajar untuk terbabit dalam persembahan bahasa puisi berkumpulan.

Katanya, ia membantu membentuk satu paduan suara tematik untuk diperdengarkan kepada penonton, sekali gus membentuk disiplin tinggi dalam kerja berpasukan.

“JPN Selangor berharap untuk meneruskan lagi sinergi ini pada masa hadapan bersama PREC yang dilihat sangat berkesan terutama dalam memberi pendedahan kepada masyarakat berhubung aktiviti kokurikulum yang diadakan di sekolah.

“Ia juga dapat meningkatkan keyakinan pelajar untuk menonjolkan bakat mereka di khalayak ramai,” katanya.

Sebanyak 10 buah sekolah terdiri daripada 300 pelajar dan 100 guru pembimbing dari Hulu Langat, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Selangor, Sabak Bernam, Klang, Kuala Langat, Sepang, Petaling Utama dan Petaling Perdana berentap bagi mewakili Selangor ke peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Pahang.


Pengarang :