AGENDANASIONAL

SPAN, Jabatan Bekalan Air akan audit sistem air

KUALA LUMPUR, 26 JUL: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Jabatan Bekalan Air telah ditugaskan untuk menjalankan audit mengenai sistem air semasa di semua negeri.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A Xavier Jayakumar, berkata audit itu akan menumpukan kepada sistem serta pengurusan air semasa dan pada masa yang sama mengenal pasti rancangan dan penyelesaian dalam menangani sebarang krisis air.

“Pembangunan masa kini menjadikan permintaan air lebih tinggi berbanding bekalan. Oleh itu, kita perlu berbincang dan menyusun semula rancangan kita mengenai sumber air untuk 25 tahun akan datang,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Konvensyen Air Antarabangsa Malaysia 2019, di sini semalam.

Dr Xavier berkata, pada masa ini, tidak ada data sebenar mengenai keseluruhan ekosistem industri air di negeri-negeri.

Mengenai perancangan untuk memanfaatkan bekalan air bawah tanah sebagai alternatif bagi menyelesaikan masalah air di negara ini, beliau berkata kajian kementerian tentang idea itu dijangka siap tahun depan.

“Menurut Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan dan jabatan-jabatan lain di kementerian, Malaysia mempunyai sumber air bawah tanah yang besar yang belum kita terokai dan kita mungkin mempunyai lima trilion meter padu air bawah tanah dan apa yang perlu kita lakukan ialah memanfaat kira-kira 20 peratus daripadanya untuk mempunyai rizab air yang kita perlukan.

“Sekarang adalah masa untuk mencari permukaan aktif yang memberikan bekalan air berterusan dan mencari cara bagaimana kita akan memanfaatkannya,” katanya.

Dr Xavier berkata, air bawah tanah juga boleh menjadi sumber bagi Malaysia untuk menghadapi musim kemarau yang dijangka lebih lama disebabkan oleh perubahan iklim. – BERNAMA


Pengarang :