BERITA UTAMA

SPR komited aplikasi sistem pemilih automatik pada PRU15

KUALA LUMPUR, 18 JULAI: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan sistem pendaftaran pemilih secara automatik, boleh disediakan dalam tempoh dua tahun lagi, sekali gus diaplikasi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Pengerusinya, Dr Azmi Sharom berkata, pelaksanaan itu adalah cabaran utama yang cukup besar, namun beliau komited SPR mampu menggalas tanggungjawab terbabit sebaiknya.

“Untuk sistem pendaftaran secara automatik itu memang mengambil sedikit masa, namun SPR yakin ia boleh mula diaplikasi menjelang PRU15 akan datang.

“Untuk sistem itu sedia digunakan, dijangka dalam tempoh satu setengah tahun ke dua tahun.

“Banyak perlu dibuat SPR…kita juga perlu bersedia menghadapi berjuta tambahan pengundi, misalnya menentukan pusat dan saluran mengundi mencukupi, selain membeli kotak undi yang banyak serta melatih pegawai SPR lebih ramai,” katanya kepada Bernama.

Selain menurunkan umur warganegara layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun, pindaan itu turut mencadangkan penurunan umur warganegara yang layak menjadi ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri kepada 18 tahun, serta mereka didaftarkan secara automatik sebagai pemilih oleh SPR.

Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 itu diluluskan di Dewan Rakyat pada Selasa, setelah memperoleh lebih dua pertiga persetujuan dengan sokongan 211 daripada 222 ahli Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, fokus SPR ketika ini dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara ialah memastikan sistem berkenaan secara teknikalnya telus, selamat dan efisien, supaya segala proses pengundian berjalan lancar apabila tiba masanya.

Selain itu, katanya, SPR mengajak seluruh rakyat Malaysia yang sudah layak mengundi supaya mendaftar melalui sistem pendaftaran pengundi secara dalam talian, yang akan dilancarkan hari ini.

“Sistem mendaftar secara ‘online’ ini boleh buat di hujung jari sahaja, tidak perlu buat manual di pejabat pos atau di mana-mana kaunter, jadi tiada masalah lagi untuk mereka yang layak mengundi, untuk tidak daftar sebagai pengundi.

“SPR berharap sistem pendaftaran ‘online’ ini akan dimanfaatkan, serta menggalakkan rakyat untuk beramai-ramai mendaftar. Terdapat lebih empat juta (rakyat) lagi yang belum mendaftar setakat ini,” katanya.

Mengikut rekod, jumlah pengundi pada PRU15 dijangka menjangkau lebih 22 juta orang, berbanding 14.9 juta pengundi pada PRU14 tahun lalu.

-BERNAMA


Pengarang :