AGENDANASIONAL

SPR pamer permohonan pemilih baharu di 957 lokasi

KUALA LUMPUR, 29 JULAI: Permohonan pendaftaran pemilih baharu, permohonan pertukaran bahagian pilihan raya daripada pemilih berdaftar dan nama digugurkan daripada daftar pemilih, antara yang akan dipamerkan di seluruh negara oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, selaras dengan Peraturan 13, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) bagi Suku Tahun Kedua Tahun 2019 (ST2/2019), kesemua perkara itu akan dipamerkan selama 14 hari mulai 31 Julai hingga 13 Ogos ini, di 957 tempat pameran.

Beliau berkata, dalam tempoh urusan pendaftaran pemilih ST2/2019, SPR menerima 27,505 permohonan pendaftaran pemilih baharu daripada warganegara yang layak dan 11,627 permohonan pertukaran bahagian pilihan raya daripada pemilih berdaftar.

“Pemohon yang memohon untuk mendaftar sebagai pemilih baharu dan pemilih berdaftar memohon pertukaran bahagian pilihan raya mulai 1 April hingga 30 Jun 2019 dinasihatkan menyemak nama mereka dalam RDPT ST2/2019. Sekiranya pemohon mendapati nama mereka tidak disenaraikan dalam RDPT ST2/2019, mereka boleh membuat tuntutan melalui Borang B.

“Bagi pemilih berdaftar di satu-satu bahagian pilihan raya yang hendak membuat bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana orang dalam RDPT ST2/2019 dalam satu-satu bahagian pilihan raya, mereka boleh berbuat demikian dengan mengisi Borang C,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Tuntutan atau bantahan hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar Pemilih (Pengarah Pilihan Raya Negeri) bagi kawasan pendaftaran yang berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh pameran RDPT itu diadakan.

Beliau berkata, semasa tempoh Pameran RDPT ST2/2019, SPR juga mempamerkan nama-nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada daftar pemilih kerana mereka telah meninggal dunia atau hilang taraf kewarganegaraan.

“Bagi pegawai dan anggota polis serta tentera yang tamat perkhidmatan, SPR bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia dalam mengemas kini maklumat lokaliti pengundian mereka dari lokaliti polis dan tentera ke lokaliti awam dengan mengekalkan bahagian Pilihan Raya Parlimen dan DUN sedia ada masing-masing.

“Tindakan pengemaskinian bagi memastikan mereka akan mengundi sebagai pengundi biasa dan bukan lagi sebagai pengundi awal kerana mereka sudah menamatkan perkhidmatan,” katanya.

Katanya, ia membabitkan 959 orang termasuk 121 pesara tentera, 834 pesara polis dan empat pasangan pesara Pasukan Gerakan Am (PGA) yang nama mereka turut akan dipamerkan pada pameran itu.

Lokasi pameran ialah di Ibu Pejabat SPR Putrajaya, 14 Pejabat Pilihan Raya Negeri, 428 pejabat pos, kompleks dan pejabat kerajaan (88), pejabat daerah dan pejabat tanah (180), majlis daerah dan perbandaran (64), dewan serbaguna, rukun tetangga, balai raya, pejabat penghulu dan dewan (165) manakala lain-lain tempat sebanyak 17 lokasi.

-BERNAMA


Pengarang :