KUALA LUMPUR, 22 Julai — Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya (dua, kiri) beramah mesra dengan Timbalan Koordinator Stolen Asset Recovery Initiative (StAR) Shervin Majlessi (kiri) pada Bengkel Serantau Mempromosi Ketelusan Pemunya Benifisiari di Asia Tenggara hari ini. Turut sama Penasihat Anti Rasuah Serantau United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC) Francesco Checchi (kanan) dan wakil Pesuruhjaya Tinggi British di Kuala Lumpur Kebur Azbaha. — fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
AGENDANASIONAL

SPRM perlu peruntukan sendiri berkait pemunya benefisiari

KUALA LUMPUR, 22 JUL: Terdapat keperluan bagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempunyai peruntukannya sendiri berkaitan pemunya benifisiari (beneficial ownership) dalam Akta SPRM 2009.

Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya berkata, perkara itu penting untuk menyokong siasatan dan memastikan pihak terlibat tidak terlepas daripada dikenakan tindakan undang-undang dan penguatkuasaan.

“Kerajaan akan meminda Akta SPRM 2009 bagi membolehkan pihak berkuasa mengetahui siapa pemunya benifisiari semasa siasatan dijalankan.

“Kerajaan melihat satu keperluan untuk perkara ini kerana terdapat banyak kes yang mana nama individu lain digunakan sebagai ‘proksi’ untuk menghalang pemilik asal daripada terdedah kepada tindakan yang mungkin,” katanya selepas merasmikan Bengkel Serantau Mempromosi Ketelusan Pemunya Benifisiari di Asia Tenggara di sini, hari ini.

Latheefa berkata, kuasa penuh undang-undang sedia ada akan dilaksanakan kepada pesalah untuk memastikan tiada pemunya benifisiari yang tidak jelas atau berselindung melakukan aktiviti rasuah dan perusahaan jenayah.

Pada 10 Jan lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan bercadang memasukkan peruntukan baharu dalam Akta SPRM mengenai tanggungjawab mendedahkan pemunya benefisiari.

Beliau berkata, ia adalah antara perkara yang diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Khas mengenai Antirasuah yang dipengerusikan beliau di Putrajaya.

– BERNAMA


Pengarang :