BERITA UTAMA

SPRM Sarawak diminta ambil serius semua laporan

KUCHING, 29 JULAI: Pengerusi KEADILAN Sarawak, Baru Bian mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak bertindak dengan amanah dan telus serta tidak mengambil mudah terhadap semua laporan yang diajukan kepada mereka.

Baru, yang juga Menteri Kerja Raya, berkata kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) amat serius dalam agenda memerangi gejala rasuah di negara ini dan menitikberatkan integriti, ketelusan serta keterbukaan dalam semua aspek kerajaan.

“Saya percaya dan berharap dengan perubahan yang dilakukan Kerajaan PAKATAN dalam struktur SPRM, lebih ramai tangkapan dan dakwaan akan dilakukan.

“Bukan sahaja terhadap pelaku kecil malah pelaku besar juga akan disiasat dan didakwa,” katanya pada majlis makan malam “Harapan Sarawak Baru,” anjuran PAKATAN Sarawak, di sini malam tadi.

Beliau turut menyeru parti komponen PAKATAN supaya terus giat dalam melakukan gerak kerja yang sistematik sebagai persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12, yang akan diadakan selewat-lewatnya pertengahan 2021.

“Kali ini kita berkeyakinan tinggi untuk mengambil alih pemerintahan Sarawak dari Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS),” katanya sambil mengingatkan bahawa kerajaan pusat adalah kerajaan manakala GPS adalah kerajaan pembangkang.

-BERNAMA


Pengarang :