NASIONAL

SRC beri justifikasi ringkas mohon pinjaman RM2 bilion

KUALA LUMPUR, 8 JUL: Seorang bekas pegawai kanan dari Kementerian Kewangan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini bahawa SRC International Sdn Bhd hanya memberikan satu perenggan justifikasi bagi permohonan mendapat jaminan kerajaan untuk pinjaman pertama sebanyak RM2 bilion pada 2011.

Bekas Setiausaha Bahagian, Bahagian Pengurusan Pinjaman Pasaran Kewangan dan Aktuari, Kementerian Kewangan, Datuk Maliami Hamad, 65, berkata justifikasi yang dinyatakan itu tidak mencukupi untuk dibentangkan kepada Kabinet kerana maklumat yang diberikan adalah terhad.

Saksi pendakwaan ke-43 itu berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Suhaimi Ibrahim pada hari ke-33 perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwa atas tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan salah guna kedudukan dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Suhaimi: Adakah kamu mempunyai peluang untuk menyemak keperluan dalam jaminan kerajaan itu, seiring dengan apa yang dikehendaki oleh SRC International melalui Nik Faisal Ariff Kamil pada masa itu?

Maliami: Pada masa itu, maklumat yang diberikan kepada saya adalah terhad. Surat (dari SRC International memohon jaminan kerajaan) hanya mempunyai dua perkara iaitu syarat pinjaman dan justifikasi pinjaman, yang hanya satu perenggan. Ini tidak cukup untuk dikemukakan kepada Kabinet.

Justifikasi itu menyatakan “tujuan jaminan kerajaan adalah untuk memastikan bekalan sumber tenaga berterusan dalam jangka masa panjang untuk kegunaan negara ini dan penjanaan ekonomi negara.”

Menjawab soalan tambahan daripada Suhaimi mengapa beliau menurunkan tandatangan pada surat dari Kementerian Kewangan kepada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) yang memohon untuk mengeluarkan wang pinjaman kepada SRC sebelum jaminan kerajaan dimuktamadkan, saksi itu berkata beliau hanya mengikuti arahan.

Tambahnya lagi, perkara tersebut merupakan kali pertama berlaku kerana ia bukanlah amalan biasa kementerian itu disebabkan surat jaminan kerajaan belum dikeluarkan lagi.

Suhaimi: Kenapa kamu tandatangan?

Maliami: Saya sebagai pegawai yang bertanggungjawab terpaksa mengikuti arahan Ketua Setiausaha Perbendaharaan ketika itu kerana beliau ada memaklumkan Perdana Menteri meminta untuk pengeluaran disegerakan.

Suhaimi: Siapa Ketua Setiausaha Perbendaharaan ketika itu?

Maliami: Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah

Ketika ditanya mengapa dana pinjaman RM2 bilion pertama tersebut ditegaskan hanya untuk pembiayaan sektor sumber asli sahaja, saksi itu berkata pihaknya mengambil kira faktor perniagaan utama SRC yang merupakan sumber asli selain perlu memastikan wang yang diperoleh dibelanjakan dengan tepat selaras dengan yang telah diperakukan Kabinet.

Namun, dalam satu mesyuarat pada 12 April 2012 di Kementerian Kewangan yang dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil, KWAP dan pegawai dari Kementerian Kewangan, Maliami berkata Nik Faisal telah menggesa untuk memasukkan perkataan “modal pusingan” bagi meminda tujuaan kegunaan pinjaman itu.

Menurut Maliami, Kabinet kemudian meluluskan pindaan tersebut.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok. – BERNAMA


Pengarang :