NASIONAL

Stok minyak sawit Malaysia pada Jun turun 0.97 peratus

KUALA LUMPUR, 10 JUL : Jumlah stok minyak sawit Malaysia pada Jun 2019 turun 0.97 peratus kepada 2.42 juta tan metrik daripada 2.45 juta tan metrik pada Mei 2019.

Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dalam laporan “Prestasi Industri Minyak Sawit Malaysia untuk Bulan Jun 2019” yang dikeluarkan hari ini, menyatakan stok minyak sawit mentah (MSM) turun 7.48 peratus kepada 1.35 tan metrik pada bulan yang disemak itu berbanding 1.46 tan metrik pada bulan sebelumnya, stok minyak sawit diproses meningkat 8.72 peratus kepada 1.07 tan metrik daripada 984,053 tan metrik sebelumnya.

Lembaga itu berkata pengeluaran MSM jatuh 9.17 peratus kepada 1.52 tan metrik pada Jun daripada 1.67 tan metrik pada bulan sebelumnya.

Output isirong sawit turun 13.15 peratus kepada 355,397 tan metrik pada Jun daripada pengeluaran Mei sebanyak 409,187 tan metrik.

Katanya eksport minyak sawit merosot 19.35 peratus kepada 1.39 juta tan metrik pada Jun daripada 1.71 juta tan metrik pada Mei, manakala eksport oleokimia susut 13.01 peratus kepada 253,061 tan metrik daripada 290,895 tan metrik.

Eksport biodiesel pada bulan yang sama juga merosot 53.43 peratus kepada 31,022 tan metrik berbanding Mei sebanyak 66,617 tan metrik, manakala eksport hampas isirong jatuh 9.99 peratus kepada 214,918 tan metrik daripada 238,770 tan metrik.

Pada Jun, minyak sawit isirong berkurang 11.94 peratus kepada 81,111 tan metrik daripada 92,108 tan metrik pada bulan lepas.

-BERNAMA


Pengarang :