Foto – AFP
AGENDAGLOBAL

SU Pertahanan baharu AS ke Korea Selatan pada Ogos

WASHINGTON, 31 JUL: Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Mark Esper akan berkunjung ke Korea Selatan bulan depan sebagai sebahagian daripada lawatan ke Asia, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan Pentagon, semalam.

Lawatan Esper dibuat selepas AS dilaporkan meminta Seoul meningkatkan sumbangan dalam membiayai kos sejumlah 28,500 tentera Amerika yang ditempatkan di wilayah sekutu Asianya itu.

Setiausaha pertahanan baharu itu, yang memegang jawatan tersebut minggu lepas, dijadualkan berlepas pada Jumaat dalam rangka lawatan ke Hawaii, Sydney, Auckland, Tokyo, Ulaanbaatar dan Seoul, menurut Pentagon dalam satu kenyataan akhbar.

Semasa di Seoul, Esper dijangka bertemu Menteri Pertahanan Korea Selatan Jeong Kyeong Doo pada 9 Ogos dan membincangkan isu penting berkaitan pakatan mereka termasuk situasi keselamatan di Semenanjung Korea, pembasmian senjata nuklear dan pemindahan kawalan operasi semasa perang, menurut kementerian pertahanan Seoul.

Sumber di Korea Selatan berkata Esper juga mungkin bertemu Presiden Moon Jae In semasa lawatannya ke negara itu.

“Sepanjang lawatannya, Setiausaha Esper akan bertemu pemimpin utama dalam usaha memperkukuh hubungan pertahanan dan mengendali mesyuarat multilateral dengan para pegawai kanan,” menurut Pentagon.

– BERNAMA


Pengarang :