NASIONAL

Suboh: Saya tidak kenal pasukan pengurusan SRC

KUALA LUMPUR, 3 JUL: Bekas pengarah bukan-eksekutif SRC International Sdn Bhd, Datuk Suboh Md Yassin memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau tidak boleh mengenali pasukan pengurusan syarikat SRC International Sdn Bhd.

Suboh, 68, yang juga saksi pendakwaraya yang ke-42 itu berkata, beliau juga tidak mempunyai sebarang peluang untuk menemui anggota pasukan berkenaan.

“Saya tidak pernah menemui pasukan pengurusan itu. Saya hanya melihat Nik Faisal Ariff Kamil (Ketua Pegawai Ekskutif SRC International Sdn Bhd). Dalam kebanyakan majlis, saya tidak tahu sama ada mana-mana anggota pasukan pengurusan itu hadir,” kata saksi berkenaan.

Suboh memberi keterangan semasa perbicaraan berhubung dana SRC International Sdn Bhd membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang masuk hari ke-32 hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan oleh peguam Harvinderjit Singh, yang mewakili Najib, adakah Suboh menemui mana-mana anggota pasukan pengurusan SRC sebelum ini.

Harvinderjit juga menyoal Suboh sama ada dia mengenali mana-mana anggota lembaga SRC yang lain sebelum menjadi rakan sejawatan.

Suboh berkata, beliau mungkin pernah menemui bekas pengerusinya, Tan Sri Ismee Ismail sekali sahaja sebelum beliau menyertai syarikat berkenaan tetapi mereka tidak mengetahui antara satu sama lain.

Saksi juga ditanya sama ada dia mengetahui bahawa bekas Pengarah Kewangan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Terrence Geh dan beliau mengaku mengenali Terrence tetapi tidak mengetahui sama ada lelaki berkenaan dari SRC atau 1MDB.

Suboh berkata, beliau telah menemui wakil SRC, Zahid Taib dan pengasas bersama SRC, Vincent Koh Beng Huat tetapi tidak tahu peranan mereka.

Terdahulu sebelum disoal-balas, Peguam Negara Tommy Thomas telah memohon kepada mahkamah bagi dilanjutkan tarikh perbicaraan, yang dijadualkan sehingga 15 Ogos.

Thomas berhujah bahawa tarikh perbicaraan itu perlu berdasarkan kepada situasi perbicaraan sekarang , yang memerlukan satu tempoh masa yang lebih panjang.

Perbicaraan kes rasuah SRC dijadual berakhir pada 15 Ogos dan tiga hari selepas itu perbicaraan 1MDB akan bermula pada 19 Ogos di hadapan hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali, berkata, beliau ada perbicaraan membabitkan bekas pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad pada Oktober tetapi beliau bersedia untuk dilanjutkan tarikh perbicaraan SRC pada September dan November.

Thomas memberitahu beliau bahawa dia akan berjumpa Hakim Sequerah bagi mendapatkan satu arahan, sama ada perbicaraan 1MDB boleh dilanjutkan bagi memberi laluan untuk perbicaraan SRC diselesaikan.

Najib, 66, didakwa dengan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan kerana menyalahguna kedudukannya dan tiga pertuduhan terhadap pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan hakim Mohd Nazlan disambung tengah hari ini. – BERNAMA


Pengarang :