NASIONAL

Suboh tidak tahu kenapa Nik Faisal memintanya ke Bangkok

KUALA LUMPUR, 8 JUL: Bekas pengarah bukan-eksekutif SRC International Sdn Bhd, Datuk Suboh Md Yassin memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa dia tidak tahu sebab bekas ketua pegawai eksekutif, Nik Faisal Ariff Kamil meminta beliau ke Bangkok, Thailand pada 2015 dan 2018.

Suboh, 68, saksi pendakwaraya ke-42 berkata, tidak terlintas dalam fikirannya untuk bertanya Nik Faisal kenapa dia perlu pergi ke Bangkok.

Suboh menjelaskan bahawa pada 2018, Nik Faisal menghubungi dan meminta dia sekali lagi terbang ke Bangkok tetapi dia enggan untuk mematuhinya.

“Saya tidak bertanya kerana saya enggan pergi. Saya kata maaf, Saya tidak akan pergi ke Bangkok,” kata Suboh.

Saksi itu ditanya oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah semasa perbicaraan dana SRC International Sdn Bhd membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang memasuki hari ke-33 hari ini.

Suboh berkata, kali kedua Nik Faisal mengarahkan dia pergi ke Bangkok menerusi satu panggilan telefon ketika dia (Suboh) berada di Indonesia bersama isterinya.

Suboh pasti individu yang memanggil beliau pada 2015 dan 2018 serta meminta dia ke Bangkok ialah Nik Faisal walaupun dia baru saja mendengar suara itu menerusi satu panggilan telefon.

Menjawab kepada soalan Muhammad Shafee sama ada Suboh mempunyai sebarang keraguan terhadap arahan Nik Faisal dan perlunya satu alasan kenapa Suboh perlu akur, saksi menjawab dia tidak mengetahui dan keliru.

Muhammad Shafee bertanya lanjut kepada Suboh sama ada dia telah melakukan sesuatu yang salah hingga menyebabkan dia terpaksa lari ke Bangkok, namun Suboh menafikan perkara itu.

Muhammad Shafee : Kenapa anda pergi?

Suboh : Kerana Nik Faisal meminta saya supaya ke sana.

Muhammad Shafee : Anda tidak mencari sebabnya?

Suboh : Ya.

Muhammad Shafee : Adakah Nik Faisal memberitahu anda supaya pergi kerana anda telah menandatangani satu cek?

Suboh : Tidak

Muhammad Shafee : Adakah dia mencadangkan anda, kami sekarang sedang siasat?

Suboh : Tidak

Menjawab kepada soalan Muhammad Shafee sama ada isteri Suboh meminta mereka ke Bangkok pada 2015 untuk berbulan madu, Suboh berkata “Tidak”.

Terdahulu, Timbalan Pendakwaraya Awam, Datuk V.Sithambaram berkata, pihak pembela mengeluarkan 17 slaid pameran dari mahkamah Rabu lepas yang berkemungkinan mengganggu bukti.

Sithambaram menjelaskan bahawa meskipun dokumen berkenaan penting bagi perbicaraan, slaid yang berkenaan sudah tiada di mahkamah hari ini.

“Semua dokumen berkenaan adalah penting, kalaupun tidak dalam mahkamah, ia mungkin mengganggu,” katanya.

Muhammad Shafee menjelaskan bahawa slaid berkenaan dibawa keluar kerana pihak pembela mahu membuat salinan di sebuah kedai terletak di luar mahkamah.

“Tidak ada muslihat di sini, kerana seseorang perlu membuat salinannya,” kata beliau.

Peguam Negara, Tommy Thomas mencelah bahawa memandangkan mahkamah adalah penjaga sebenar bahan kes, sebarang cubaan untuk membawa keluar dari mahkamah perlu dilakukan secara terbuka dan telus.

Selepas mendengar hujah daripada kedua-dua pihak, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menasihati pihak pembela agar mendapatkan kebenaran daripada mahkamah sebelum mengeluarkan sebarang bahan bukti.

Najib, 66, didakwa dengan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan menyalahguna kedudukannya dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Mohd Nazlan disambung pukul 2.30 petang. – BERNAMA


Pengarang :