NASIONAL

Suboh tidak tahu tentang akaun ‘rahsia’ SRC

KUALA LUMPUR, 3 JUL: Bekas pengarah bukan eksekutif SRC International Sdn Bhd Datuk Suboh Md Yassin memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau tidak tahu tentang kewujudan akaun “rahsia” di AmBank yang menerima pinjaman RM2 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) untuk syarikat itu pada 2011.

Saksi ke-42 pihak pendakwaan itu memberitahu demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Harvinderjit Singh, yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak pada perbicaraan bekas perdana menteri itu berhubung pelesapan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta. Perbicaraan memasuki hari ke-32 hari ini.

Harvinderjit: Bilakah SRC memperoleh pinjaman KWAP yang pertama?

Suboh: Saya tidak tahu.

Harvinderjit: Tidak seorangpun pengarah dalam SRC atau Nik Faisal Ariff Kamil (CEO) memberitahu anda bahawa terdapat satu lagi akaun bagi SRC yang menyaksikan nombor akaun berakhir dengan 736?

Suboh: Ya.

Harvinderjit: Mengenai akaun 736, anda tidak tahu, anda bukan penandatangan untuk akaun itu?

Suboh: Tidak pernah.

Harvinderjit: Tidak seorangpun pengarah dalam SRC dilantik oleh anda… Jadi, sekarang anda benar-benar terkejut?

Suboh: “Ini macam pun bolehkah,” katanya yang kelihatan terkejut.

Saksi itu juga memberitahu bahawa dia tidak pernah melihat penyata akaun “rahsia” SRC di bank tersebut.

Kepada soalan lain, beliau berkata transaksi dari Januari 2011 hingga 31 Ogos, 2015 adalah di luar pengetahuannya.

Suboh juga bersetuju bahawa RM2 bilion dari KWAP masuk dan keluar pada hari yang sama selepas Harvinderjit merujuk penyata bank itu kepadanya.

Mengenai perkara lain, Suboh bersetuju dengan Harvinderjit bahawa Nik Faisal bukan lagi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengarah Urusan SRC International apabila syarikat tersebut melantik Ihsan Perdana Sdn Bhd sebagai rakan tanggungjawab sosial korporat.

Harvinderjit: Adakah anda tahu bahawa tempoh perkhidmatan Nik Faisal telah berakhir pada 11 Ogos, 2014?

Suboh menjawab “Ya.”

Menjelang akhir sesi pagi, Harvinderjit bertanya kepada sdaksi itu sama ada dia mahu berehat sebentar lalu Suboh menjawab “tidak perlu.”

“Anda perlukan rehat?” Suboh pula kemudian bertanya kepada Harvinderjit, yang disambut dengan gelak-ketawa daripada orang awam di galeri.

Tidak lama kemudian, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan rehat selama lima minit.

Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan bersambung. – BERNAMA


Pengarang :