BERITA UTAMA

SUK Selangor capai KPI lima bintang bagi HRMIS

SHAH ALAM, 18 JUL : Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor berjaya mencapai Penunjuk Prestasi Utama (KPI) lima bintang bagi Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia (HRMIS) untuk tiga tahun berturut-turut.

Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusianya, Muhammad Yasir Yahya berkata, pencapaian pada tahap 100 peratus itu diperolehi bermula 2016 hingga 2018.

Katanya, berdasarkan keputusan tidak rasmi sehingga 31 Mei 2019, pentadbiran SUK Selangor juga berjaya mencapai tahap 100 peratus.

“Pentadbiran kami juga secara proaktif melakukan pemantauan yang teliti dari semasa ke semasa untuk memastikan lima KPI lain juga mencapai tahap 100 peratus untuk tahun ini.

“Sehubungan itu, SUK Selangor akan terus beriltizam untuk mengekalkan kecemerlangan tersebut pada tahun ini dan tahun-tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian pelancaran Sambutan Bulan HRMIS peringkat Selangor di Dewan Jubli Perak, di sini, hari ini.

Bulan HRMIS disambut pada Julai setiap tahun di seluruh negara bagi menyahut seruan Jabatan Perkhidmatan Awam.

Pentadbiran SUK Selangor juga telah merangka pelbagai agenda antaranya Program Semakan Buku Rekod Perkhidmatan dan Semakan Rekod HRMIS Peringkat Pejabat SUK Selangor bermula 2 hingga 4 Julai.

Turut dilaksanakan ialah Bengkel Digital Government Competency and Capability Readiness (DGCCR) serta Hari Bertemu Pelanggan.

Muhammad Yasir berkata, Pejabat SUK Selangor komited dalam memodenkan urusan pentadbiran di negeri ini selaras dengan matlamat menjadikan Selangor sebagai Smart State yang unggul, di rantau Asia menjelang 2025.

Justeru itu, pelaksanaan HRMIS di pentadbiran SUK telah menjadi amalan wajib kepada pegawai dan kakitangan terutamanya dalam urusan semua permohonan cuti, pelaksanaan Sasaran Kerja Tahunan, Penilaian Prestasi Tahunan dan pelbagai fungsi lain.

“Kami juga secara terus menerus menggalakkan warga kerja menggunakan aplikasi pintar HRMIS yang ternyata lebih mudah digunakan antaranya MyHRMIS Self Check yang membolehkan pegawai dan kakitangan mengemaskini sendiri maklumat peribadi mereka.

“Mereka juga digalakkan menggunakan aplikasi MyHRMIS Cuti untuk memohon, menyokong dan meluluskan cuti serta menggunakan MyHRMIS eGL yang terus dapat memaparkan rekod Surat Pengesahan Diri dan Pengakuan Pegawai melalui telefon bimbit masing-masing,” katanya.


Pengarang :