PBTSELANGOR

SUKANUN 2019: MBPJ akhiri kemarau kejuaraan

SHAH ALAM, 25 JUL: Tekad dan usaha keras kontinjen Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memburu kejuaraan dalam Karnival Sukan Badan Berkanun Malaysia (SUKANUN) Ke-11 2019 akhirnya tercapai selepas 11 kali mencuba.

Ketua Kontinjen MBPJ, Sharifah Marhaini Syed Ali berkata, sejak awal lagi MBPJ meletakkan sasaran bergelar juara pada kejohanan kali ini.

“MBPJ memang sejak dahulu lagi tak pernah ketinggalan menyertai kejohanan ini tetapi belum pernah juara.

“Sebelum ini kami sentiasa berada di kedudukan kedua dan ketiga sahaja tetapi kali ini bersyukur kerana sasaran bergelar juara tercapai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas MBPJ diumumkan juara keseluruhan pada Majlis Perasmian Penutupan Karnival SUKANUN di Kompleks Sukan UiTM di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pembangunan Kemasyarakatan MBPJ, Aznan Hassan berkata, MBPJ mula membuat persiapan sejak dua tahun lalu.

“Disebabkan kejohanan kali ini diadakan di Selangor, kami bertekad untuk mensasarkan juara kali ini.

“Segala usaha berlatih selama dua tahun nampaknya berbaloi hari ini,” katanya.

MBPJ diumumkan juara keseluruhan Karnival SUKANUN 2019 apabila berjaya mengumpul 102 mata.

Kejohanan yang dilangsungkan di Kompleks Sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 19 hingga 26 Julai itu turut menyaksikan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) muncul naib juara.

Walaupun DBKL dan MBPJ berkongsi jumlah mata sama, namun MBPJ diisytiharkan pemenang keseluruhan berdasarkan pungutan pingat.

MBPJ memungut lima emas dan tiga perak berbanding DBKL dua emas, tiga perak serta tiga gangsa.


Pengarang :