AGENDASUKANKINI

SUKANUN: Jadikan undang-undang sukan sebagai budaya kerja

SHAH ALAM, 24 JUL: Warga kerja dan ahli Persatuan Badan Berkanun Malaysia (PPBM) yang bertanding pada Karnival Sukan Badan Berkanun (SUKANUN) 2019 disaran menjadikan undang-undang dalam sukan sebagai budaya kerja secara berterusan.

Yang Dipertua Persatuan Badan Berkanun Malaysia, Prof Emeritus Ir Dr Mohd Azraai Kassim berkata, ini kerana penganjurannya menitikberatkan aspek semangat kerjasama berpasukan, menghormati lawan, berdisiplin dan mematuhi masa.

“Saya yakin penganjuran sukan ini juga akan dapat melahirkan warga kerja yang sihat, cergas, dinamik dan berdisiplin.

“Malah, ia dapat membantu organisasi mencapai objektifnya melalui program latihan persiapan sukan,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Karnival SUKANUN Ke-11, di Dewan Agung Tuanku Canselor, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, di sini, malam tadi.

Turut hadir, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam, Dato’ Haris Kasim dan Ahli-Ahli Jawatankuasa Tertinggi Persatuan serta Ketua-Ketua Eksekutif Badan-Badan Berkanun.

Terdahulu, acara makan malam itu bertujuan meraikan wakil-wakil kontinjen terdiri daripada 63 organisasi berentap dalam sukan dwitahunan terbabit yang bermula sejak 19 hingga 26 Julai.

Mohd Azraai yang juga Naib Canselor UiTM melahirkan rasa bangga kerana dapat menjadi tuan rumah kepada karnival sukan yang memasuki edisi ke-11.

Katanya, penganjuran itu adalah ‘self-funded programme’ di mana jawatankuasa sukan persatuan perlu menjalankan beberapa aktiviti bagi mencari sumber dana dalam menjayakan karnival sukan berkenaan.

SUKANUN 2019 membabitkan penyertaan lebih 5,000 atlet dan pegawai, 300 sukarelawan termasuk 400 pegawai teknikal.

Sebanyak 23 acara dipertandingkan antaranya Bola Sepak 9 Sebelah Terbuka dan Veteran; Bola Jaring; Badminton Berpasukan; Olahraga, Futsal dan Ping-pong Berpasukan.

Sukanun 2019 turut mendapat kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Majlis Perbandaran Klang (MPK), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).


Pengarang :