SELANGOR

Sukar kesan pemilik projek punca lewat capai sasaran sifar rumah terbengkalai

OLEH NADIAH ZAMLUS

PETALING JAYA, 13 JULAI : Selangor boleh menjadi negeri sifar rumah terbengkalai sekiranya masalah untuk mengesan pemilik projek yang terbengkalai dapat dilakukan lebih awal.

EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar Haniza Talha berkata, ini kerana, sebarang kerja baik pulih projek perumahan perlu dilakukan dengan persetujuan daripada pemilik asal rumah terbabit terlebih dahulu.

“Setakat ini kerja untuk membaik pulih rumah terbengkalai tidak mempunyai isu besar berikutan ramai pemaju yang berminat untuk mengambil alih. Namun, yang menyebabkan Selangor lewat mencapai sifar rumah terbengkalai ini adalah sebab kelewatan mengesan pemilik projek tersebut.

“Kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Khas untuk mencari pemilik-pemilik rumah terbengkalai terlebih dahulu termasuk mengiklankannya di dalam akhbar dan media sosial kerana sebarang kerja tambah baik projek perlu persetujuan daripada pemaju asal,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyerahan Cek Pusat Pendidikan Khas Minda Sdn Bhd di Kelas Pengukuhan Minda (Masalah Pembelajaran) Taman Medan, di sini hari ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Negeri Selangor Berhad, Dato’ Sri Ahmad Omar dan Pengasas Pusat Pendidikan Khas Minda Sdn Bhd, Khairol Ilmi Che Omar.

Berdasarkan rekod, sehingga kini Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor melaporkan sebanyak 106 projek rumah terbengkalai berada di seluruh negeri.

Antara lokasi terbanyak ialah, Majlis Perbandaran Klang iaitu 29 projek, Majlis Daerah Hulu Selangor (13), Majlis Perbandaran Kajang (12), Majlis Daerah Hulu Langat (11) dan Majlis Perbandaran Shah Alam (9).

Mengulas lanjut, Haniza berkata, pihaknya menyasarkan rumah terbengkalai dapat dibaik pulih dalam tempoh tiga tahun lagi.

“Mengikut perancangan, kita jangkakan setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan dapat membaik pulih dua hingga ke tiga projek rumah terbengkalai dalam tempoh tiga tahun.

“Jadi secara keseluruhannya insyaAllah apabila kesemua PBT terlibat, kita dapat siapkan 33 projek rumah terbengkalai dalam tempoh tiga tahun,” katanya.


Pengarang :