BERITA UTAMA

SUKSES 2019 medan pemilihan atlet ke SUKMA 2020

SHAH ALAM, 17 JULAI: Kejohanan Sukan Selangor (SUKSES) ke-13 yang bakal berlangsung pada 22 Julai hingga 10 Ogos ini di Sepang, menjadi medan pemilihan atlet ke Sukan Malaysia (SUKMA) 2020.

EXCO, Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, mempertandingkan sukan seperti SUKMA, kejohanan itu turut mengambil kira penyertaan sembilan daerah di Selangor.

“Kali ini Sepang dipilih sebagai lokasi sempena Tahun Melawat Sepang 2020.

“Lapan jenis sukan yang dipilih pada edisi ke-13 ini adalah badminton, boling padang, memanah, olahraga, pentanque, sepak takraw, bola keranjang dan tenpin bowling,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor, Kompleks Belia dan Kebudayaan, di sini hari ini.

Mohd Khairuddin berkata, kejohanan dwi tahunan itu menawarkan 308 pingat membabitkan 117 acara dengan 1,800 atlet dijangka akan berkampung di Sepang.

“Selain acara utama, perlawanan persahabatan bola sepak membabitkan Pasukan Pilihan MSN menentang Pasukan Pilihan PBT/MSD turut diadakan di Padang Sintetik Majlis Perbandaran Sepang pada 9 Ogos nanti jam 8 malam,” katanya.

Edisi lalu menyaksikan daerah Petaling muncul juara keseluruhan.


Pengarang :