BERITA UTAMASELANGOR

Sultan Selangor perkenan namakan Jalan Prof Khoo Kay Kim – MB

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 4 JUL: Kerajaan Negeri menamakan semula Jalan Semangat di Petaling Jaya kepada Jalan Profesor Khoo Kay Kim sebagai mengenang jasa mendiang Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, penamaan semula jalan itu mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Saya ingin memaklumkan bahawa DYMM Sultan Selangor telah memberi perkenan menamakan semula Jalan Semangat di Petaling Jaya kepada Jalan Professor Khoo Kay Kim sebagai mengenang segala jasa dan bakti mendiang kepada negara,” katanya dalam kenyataan.

Jalan Semangat yang terletak di Seksyen 14 Petaling Jaya itu bermula dari bangunan Sin Chew Media ke Jaya Shopping Center.

Mendiang Dr Khoo yang meninggal dunia pada 28 Mei lalu di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) disifatkan sebagai seorang nasionalis dan patriot khususnya penglibatannya dalam merangka Rukunegara, sebagai suatu usaha mengembalikan keharmonian negara pasca peristiwa 13 Mei 1969.

Sebagai seorang sarjana sejarah, sumbangan besar mendiang adalah di dalam pembentukan historiografi Malaysia pada abad 19.

Karya-karya utama mendiang seperti The Western Malay States 1850-1873: The Effects of Commercial Development on Malay Politics telah menjadi kanon di dalam penulisan sejarah Malaysia.

Mendiang juga terlibat aktif memberikan pandangan tentang politik dan isu-isu berkaitan pembinaan negara bangsa dan sukan bola sepak.


Pengarang :