NASIONAL

Syarikat China labur dalam 422 projek di Malaysia

PETALING JAYA, 8 JUL: Syarikat-syarikat China melabur dalam 422 projek dalam sektor pengilangan di Malaysia sehingga akhir 2018 dan mewujudkan kira-kira 73,000 pekerjaan sejak Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) diperkenal.

Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian berkata, pelaburan langsung asing Cina dalam sektor perkilangan di Malaysia telah meningkat lebih empat kali ganda dalam tempoh lima tahun lepas, dan menjadi sumber pelaburan asing terbesar dalam sektor itu untuk tepoh tiga tahun berturut-turut.

“Kami percaya menerusi sinergi antara semua pihak, kerjasama BRI pasti akan menjadi lebih mendalam, stabil dan luas.

“Jalur dan Jalan akan menjadi jalan perdamaian dan kemakmuran, dan pada masa yang sama membuka pembangunan hijau, inovasi, menghubungkan tamadun dan kerajaan yang bersih,” katanya pada Forum Tinjauan Malaysia-China 2019 di sini hari ini.

Memetik beberapa contoh, Bai Tian berkata, Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia dan Taman Industri Kuantan Malaysia-China, dirujuk sebagai ‘Taman Berkembar Dua Negara’, dan projek lain seperti Keretapi Gemas-Johor Bahru yang berjalan lancar.

Selepas rundingan mesra, Laluan Rel Pantai Timur juga akan diteruskan.

China Railway Rolling Stock Corp telah menubuhkan kilang gerabak di Perak, yang dilengkapi teknologi canggih serta kapasiti pengeluaran terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN.

Proton juga kini semakin hampiri untuk membuat keuntungan, hanya selepas setahun berkerjasama dengan Geely China.

Acara bertema ‘Apa Seterusnya selepas Forum BRI Beijing’, dianjurkan oleh The Star Media Group. – BERNAMA


Pengarang :