Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
NASIONAL

Syed Saddiq: Semua pihak perlu akur had umur belia

SHAH ALAM, 11 JUL: Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengingatkan semua pihak supaya akur dengan keputusan kerajaan pusat menurunkan had umur belia daripada 40 kepada 30 tahun.

Beliau berkata, ini kerana masih terdapat beberapa pihak termasuk kerajaan negeri yang tidak bersetuju dengan keputusan itu.

“Sebelum pindaan ini, saya ada berbincang dan telah mendapat persetujuan bukan sahaja antara exco kerajaan negeri, tetapi juga sayap pemuda.

“Jika membabitkan program di peringkat kerajaan negeri kita faham, contohnya Selangor…Selangor memang jelas ikut kita cuma dasar kerajaan negeri itu lain, tetapi sekiranya mereka berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) mereka kena ikut,” katanya kepada pemberita selepas menjadi penalis program Wacana Sinar Harian bertajuk ‘Mengundi Umur 18 tahun : Siapa Yang Untung?’ di Kompleks Krangkraf di sini, hari ini.

Turut menjadi panelis dalam program tersebut adalah Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadli Shaari; Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan dan Pensyarah Kanan Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Muhamad Nadzri Mohamed Noor.

Syed Saddiq berkata demikian ketika diminta mengulas pendirian beberapa pihak termasuk kerajaan negeri Johor yang dilihat masih tidak bersetuju dengan pindaan tersebut.

“Saya tekankan sekali lagi akta ini akan berkuatkuasa pada Disember 2021, bagi saya waktu sekarang ini (pelaksanaan) harus bermula,” katanya.

Sementara itu, Syed Saddiq berkata, kos pengurusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dijangka meningkat kepada RM1 billion berbanding RM500 juta sebelum ini, selepas pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun, diluluskan di Dewan Rakyat pada sidang kali ini.

Beliau berkata, pertambahan kos pengurusan itu dimaklumkan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), susulan pindaan tersebut.

“SPR kata pada PRU sebelum ini, suruhanjaya itu telah membelanjakan kira-kira setengah bilion, tetapi apabila jumlah pengundi makin bertambah, kos juga akan meningkat sehingga boleh mencecah RM1 bilion,” katanya.

Syed Saddiq membentangkan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 bacaan kali pertama di persidangan Dewan Rakyat pada 4 Julai lepas dan bacaan kali kedua serta ketiga dijangka dibentang pada sesi sama yang berakhir 18 Julai ini.

Usul pindaan Perkara 119 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan itu adalah bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun dan ia sebahagian daripada janji dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) yang dipersetujui sebulat suara oleh Kabinet pada September tahun lepas. – BERNAMA


Pengarang :