NASIONALPENDIDIKAN

TADC berjaya lahir pendebat muda mahir berbahasa Inggeris

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA LUMPUR, 7 JUL: Pertandingan Debat Piala Tunku Abdullah (TADC) berjaya melahirkan lebih ramai pendebat muda yang mahir berbahasa Inggeris khasnya golongan pelajar sekolah.

Pengerusinya, Tunku Dato’ Seri Iskandar Tunku Abdullah berkata, lebih membanggakan apabila kualiti debat pelajar sekolah itu boleh digilap serta dibawa hingga ke peringkat antarabangsa.

“Melalui pertandingan kali ini, saya melihat fakta dikemuka peserta juga sangat bernas berdasarkan tajuk diberikan.

“Oleh kerana itulah saya percaya TADC berjaya melahirkan pendebat muda berkualiti dan mereka hanya memerlukan dorongan lebih baik untuk memperkukuhkan kedudukan,” katanya ketika sidang media.

Beliau berkata demikian selepas Pertandingan TADC di antara 17 sekolah bertempat di St John International School di sini, hari ini.

Tunku Iskandar berkata, acara kali kedua itu berjaya meningkatkan jumlah penyertaan sebanyak 15 peratus berbanding tahun lalu iaitu hanya 10 sekolah, namun kali ini bertambah sehingga 17 sekolah.

Katanya, TADC juga berjaya menarik minat penyertaan dari sekolah menengah kebangsaan (SMK) iaitu sekolah harian biasa milik kerajaan.

“Disebabkan itu, kali ini TADC mempunyai penyertaan bercampur iaitu dari sekolah antarabangsa, sekolah kerajaan dan juga sekolah menengah jenis kebangsaan Cina.

“Kami menyasarkan pertandingan debat pada tahun hadapan akan disertai lebih banyak sekolah juga termasuk dari Sabah dan Sarawak,” katanya.

Pada acara berkenaan, ELC International School berjaya merangkul kejuaraan bagi kategori bawah 15 tahun, sementara bawah 18 tahun digondol SMK Convent Bukit Nenas.

Kedua-dua sekolah berkenaan membawa pulang wang tunai RM15,000 beserta piala dan sijil.


Pengarang :