NASIONAL

Tajuddin diarah keluar dewan empat hari

KUALA LUMPUR, 3 JULAI: Ahli Parlimen Pasir Salak dari Barisan Nasional, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman diarah keluar dewan selama empat hari selepas menimbulkan kekecohan di Dewan Rakyat, hari ini.

Arahan itu dikeluarkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming.

Kekecohan bermula setelah Tajuddin tidak berpuas hati apabila soalan dikemukakan berhubung kejayaan program tanaman kontan, dijawab Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin dan bukannya oleh menteri, Datuk Salahuddin Ayub yang didakwa berada di dalam dewan sebelum itu.

Beliau bangun menyatakan rasa tidak puas hati itu sewaktu diberi peluang mengemukakan soalan tambahan oleh Nga.

Nga kemudian meminta Tajuddin mengemukakan soalan, namun Ahli Parlimen Pasir Salak itu berterusan menyatakan rasa tidak puas hati sebelum Nga bertindak meredakan keadaan dengan menyatakan menteri atau timbalannya boleh menjawab bagi pihak kerajaan.

“Pasir Salak memang faham tetapi sendiri sengaja mengundang kekecohan. Inilah sikap yang tidak bertanggungjawab, (kemukakan) soalan tambahan. Sekiranya tak nak tanya, saya ke soalan lain.

Nga kemudian mengarahkan Tajuddin keluar dewan selama dua hari kerana berdegil dan tidak mematuhi arahannya mengikut Peraturan Majlis Mesyuarat 44 (2).

“Saya sudah bagi beberapa kali peluang minta beliau duduk, supaya tidak membazir masa dewan yang mulia ini, tetapi beliau masih lagi bersikap degil dan sengaja,” katanya.

Bagaimanapun, Tajuddin tetap berdegil dan terus menimbulkan kekecohan menyebabkan Nga mengeluarkan arahan baharu supaya Tajuddin keluar dewan selama empat hari.

Kekecohan berkenaan berlangsung kira-kira 15 minit sebelum sesi soal jawab lisan bersambung semula.

Sementara itu, Salahuddin ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen berkata amalan jawapan oleh timbalan menteri adalah perkara normal.

“Its not an issue that I ran away from the Dewan. In some condition, we assign our deputy to answer question…it is a normal practise in any ministries (Ia bukanlah satu isu bahawa saya lari daripada Dewan. Dalam beberapa keadaan, kita menghantar timbalan untuk menjawab soalan… ia satu amalan biasa bagi mana-mana kementerian pun),” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :