AGENDANASIONAL

Tarik lebih ramai pelancong Timur Tengah ke Tasik Kenyir

KUALA BERANG, 27 JUL: Tasik Kenyir perlu dibangunkan sebagai destinasi pelancongan yang mampu menarik kedatangan lebih ramai pelawat termasuk dari Timur Tengah.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R Sivarasa berkata ke arah itu, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) disaran merancang pelbagai inisiatif baharu untuk meningkatkan lagi kebolehpasaran Tasik Kenyir dalam kalangan pelancong.

“Ketengah perlu melihat pasaran baharu terutama negara Timur Tengah dengan mengembangkan daya tarikan elemen air di Tasik Kenyir,” katanya ketika berucap merasmikan Festival Kenyir 2019 dengan mewakili Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun, hari ini.

Majlis yang diadakan di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir di sini itu turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman dan Pengerusi Ketengah, Datuk Zulkifli Mohamad.

Sivarasa berkata, kementerian melalui Ketengah memperuntukkan RM38 juta bagi pelaksanaan projek infrastruktur komersial dan program ameniti sosial untuk dinikmati pengunjung Tasik Kenyir selari dengan hasrat menjadikannya destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa.

“Dalam masa terdekat juga kami akan menaik taraf jaringan jalan raya di Pengkalan Gawi ini…serta menaik taraf landskap bagi menghidupkan lagi elemen flora di Tasik Kenyir ini,” katanya.

Sivarasa menasihati penduduk sekitar Tasik Kenyir mengambil peluang ekonomi dengan menceburi bidang keusahawanan seperti perusahaan makanan, penjualan cenderahati dan kraf, rumah bot dan bot laju.

Festival bermula Khamis lalu hingga esok itu menyasarkan kehadiran 80,000 pengunjung dengan sasaran jualan dan pendapatan RM1.6 juta.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata sehingga Jun tahun ini, Tasik Kenyir menerima 257,192 pengunjung.

– BERNAMA / Foto – malaysia.travel


Pengarang :