BERITA UTAMASELANGOR

Tembusi pasaran halal Thailand, bakal perkasa usahawan Selangor

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 6 JUL: Selangor dalam misi penembusan pasaran halal Thailand melalui ASEAN Mall yang terletak di Pattani, sebagai salah satu pendekatan memperkasa ekonomi usahawan di negeri itu.

EXCO Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, usaha berkenaan digerakkan menerusi kesefahaman dan kerjasama yang bakal dijalin dengan sebuah anak syarikat ditubuhkan oleh Universiti Fatoni iaitu Patani Jaya Holding.

“Kerajaan Negeri mengalu-alukan sebarang usaha progresif dan strategik yang boleh memberi faedah serta pulangan baik kepada kedua-dua pihak.

“Pada masa sama, usahawan dari wilayah Patani dipelawa bagi meneroka peluang perkembangan perniagaan yang memiliki prospek cerah untuk dilaksanakan di Selangor.

“Kita berharap dengan adanya kerjasama ini akan memberi manfaat yang luas kepada usahawan di Selangor,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Rodziah yang juga Ahli Dewan Negeri Batu Tiga mengadakan lawatan kerja rasmi ke wilayah terbabit selama tiga hari bermula semalam hingga 7 Julai ini dalam menjayakan pembangunan Patani Jaya.

Beliau berkata, lawatan itu juga adalah sebahagian daripada langkah Kerajaan Negeri untuk meneroka peluang baharu bagi mempromosikan produk-produk usahawan Selangor ke rantau Asia Tenggara.

“Ia termasuk peluang pemasaran dan perdagangan rentas sempadan, pengembangan perusahaan mikro, peningkatan hasil jualan, peningkatan peluang pekerjaan seterusnya memacu pertumbuhan ekonomi Selangor serta wilayah Patani,” katanya.


Pengarang :