BERITA UTAMANASIONAL

Tempoh rayuan BSH dibuka sehingga 15 Ogos

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 1 JUL: Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) mengumumkan tempoh permohonan rayuan Bantuan Sara Hidup (BSH) akan mula dibuka hari ini, 1 Julai hingga 15 Ogos.

Menurutnya, dengan adanya proses rayuan itu, mereka yang tidak layak masih diberi ruang mengemukakan rayuan berserta dokumen berkaitan untuk disahkan semula oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Permohonan rayuan boleh dibuat secara dalam talian di portal BSH https://bsh.hasil.gov.my/ atau dengan hadir ke mana-mana cawangan atau pusat khidmat hasil (PKH) dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) LHDN.

“Kerajaan akan terus mengambil langkah proaktif menangani masalah dan isu yang timbul sepanjang pelaksanaan BSH.

“Kerajaan juga akan sentiasa menambahbaik BSH bagi memastikan bantuan yang diberikan adalah berkesan dan mencapai kumpulan sasar ditetapkan terutamanya golongan B40 dalam membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat,” katanya.

MOF memaklumkan, pembayaran BSH 2019 fasa kedua dilaksanakan mulai 28 Mei lalu berdasarkan kategori BSH 2019, merangkumi bilangan anak atau tanggungan dan jumlah nilai BSH 2019 yang akan diterima.

Bayaran fasa kedua ini membabitkan peruntukan RM1.42 bilion, dan termasuk bayaran untuk tanggungan melibatkan 3.2 juta anak penerima BSH berumur 18 tahun ke bawah, terhad kepada 4 orang, kecuali anak OKU yang tidak dihadkan umur mereka.

Pembayaran ini dibuat setelah proses pengesahan dijalankan membabitkan 3.6 juta penerima yang diluluskan.

Setakat ini, jumlah keseluruhan pembayaran bagi Fasa 1 dan 2 adalah RM2.62 bilion.

 


Pengarang :