BERITA UTAMASELANGOR

Tengku Permaisuri rasai pengalaman mendaki di Santuari Ikan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

HULU SELANGOR, 7 JUL: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat melakukan aktiviti mendaki di Santuari Ikan Sungai Chiling, Kuala Kubu Bharu, di sini, baru-baru ini.

Keberangkatan baginda diiringi Orang Besar Daerah Hulu Selangor, Yang Dimuliakan Engku Orang Kaya Mahabijaya, Raja Muzaffar Raja Redzwa dan pegawai-pegawai dari Pejabat Perikanan Daerah Hulu Selangor.

Sebaik tiba, Tengku Permaisuri berkenan melepaskan sejumlah benih ikan kelah ke dalam sungai berkenaan.

Baginda kemudian menelusuri denai hutan sejauh hampir empat kilometer dan meranduk air sungai menuju ke Air Terjun Sungai Chiling.

Baginda juga berkenan memberi makan kepada ikan-ikan kelah yang memenuhi segenap santuari sungai berkenaan.

Untuk rekod, Santuari Ikan Sungai Chiling dibuka kepada umum sejak 2009 dan hanya boleh dikunjungi orang ramai pada hari Sabtu dan Ahad sahaja.

Satu-satunya tarikan utama santuari ikan di Selangor ini adalah ikan-ikan kelah dan tengas boleh dilihat serta mudah didekati sepanjang laluan ke air terjun.

Kawasan ini dijaga rapi oleh Jabatan Perikanan dan aktiviti-aktiviti perkelahan dihadkan bagi mengelak dicemari dengan sampah sarap yang boleh menjejaskan hidupan spesis ikan kelah yang kini diancam kepupusan.

SUMBER: Fb Selangor Royal Office


Pengarang :