EXCOSELANGOR

Teroka industri baharu tampung peluang pekerjaan

SHAH ALAM, 28 JUL: Selangor menyahut cabaran untuk menerokai industri baharu yang boleh menyumbang kepada peluang pekerjaan, sekali gus meningkatkan pertumbuhan ekonomi.

EXCO Pembangunan Usahawan serta Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, ia selaras dengan hasrat menjadikan negeri itu sebagai ‘Regional Powerhouse’.

“Dalam hal ini, syarikat korporat perlu turut serta bersama untuk memulakan langkah mendepani Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0).

“Kerjaya dalam era IR4.0 tidak bermakna ramai yang akan dibuang kerja atau peluang pekerjaan semakin berkurangan, tetapi ‘right matching’ diperlukan bagi memastikan pelajar dan graduan memperoleh pekerjaan dalam bidang dipelajari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Karnival Hari Kerjaya @ Shah Alam, Dewan Teratai Seksyen 19 di sini, semalam.

Turut hadir, Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi; Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Selangor, Mustafa Deraman dan Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 7 Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Mohamad Jamil Abdul Rahim.

Rodziah berkata, syarikat korporat juga perlu berperanan dalam usaha memastikan agenda memberi pekerjaan kepada rakyat dapat disempurnakan.

Bagaimanapun, katanya, tawaran sesuatu pekerjaan itu bukan dilihat daripada aspek gaji semata-mata tetapi lebih kepada menjaga kebajikan pekerja termasuk tawaran lain yang mampu memberi keselesaan terhadap mereka.

“Kita harap tawaran pekerjaan ini daripada sudut gaji ditawarkan adalah tidak terlalu rendah kerana banyak bidang dan kemahiran boleh diterokai yang akhirnya membuatkan pekerja itu lebih berdaya.

“Kita mahu lihat rakyat Selangor boleh bekerja dengan pendapatan bukan lagi gaji bulanan minima RM2,000 tetapi menyasarkan RM6,000 menjelang 2025,” katanya.


Pengarang :